"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kanak-kanak lemas diselamatkan pengantin

FMT Reporters 

Persiapan sudah dibuat sejak beberapa minggu, pakaian paling segak juga sudah dipilih, bagaimanapun sesi fotografi perkahwinan pasangan ini tidak berjalan seperti yang dirancang.

Sebaliknya pengantin lelaki terpaksa terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan seorang budak lelaki daripada mati lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika sedang berposing bersama pasangannya di atas jambatan sungai itu.

Clayton dan Brittany Cook berposing untuk sesi fotografi perkahwinan di atas jambatan sebuah taman di Cambridge, Ontario, Kanada, ketika mereka menyedari seorang kanak-kanak lelaki terjatuh dalam sungai.

Tanpa berfikir panjang, pengantin lelaki itu, Clayton, terjun ke dalam air dan menarik keluar budak lelaki itu ke tebing.

Detik itu dirakam oleh jurukamera yang sepatutnya merakam detik fotografi perkahwinan mereka.

Menariknya, gambar foto itu terus viral di laman sosial, menjadikan Clayton pengantin hero atas keberanian dan kepantasannya segera menyelamatkan kanak-kanak itu tanpa berfikir panjang.

“Muka kanak-kanak itu menghadap air dan dia kelihatan cuba mengangkatnya untuk menyelamatkan diri,” kata Clayton kepada CTV News.

“Mujur, dia seorang kanak-kanak dan saya mengangkatnya keluar dengan mudah dan segera,” tambahnya.

Menurutnya, kanak-kanak lelaki itu terjatuh selepas kemungkinan ditolak oleh rakan-rakanya ketika sedang bermain di kawasan itu.

Jurukamera tersebut, Darren Hatt berkata pengantin wanita yang menyedari kejadian itu dahulu ketika dia berposing menghadap sungai.

“Dia menjerit meminta tolong sejurus selepas melihat kanak-kanak lelaki itu dan Clayton terus terjun dan selamatkan kanak-kanak itu.

Dalam beberapa saat, dia berjaya mendukungnya keluar dari air ke kawasan tebing,” kata Hatt seperti yang dipetik BBC.

“Saya terus menekan butang kamera untuk merakam seluruh kejadian itu,” tambah Hatt.

Kanak-kanak lelaki itu dikatakan sedikit gementar tetapi berada dalam keadaan baik, dan pulang bersama adik-beradiknya selepas itu.

Britanny akui, kualiti suaminya yang pantas berfikir dalam mengambil tindakan segera apabila membantu seseorang antara sebab dia tertarik dan jatuh cinta dengan Clayton.

“Itulah Clayton saya,” kongsinya lagi kepada CTV.

Tiada ulasan: