"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Baiah Pas perlu ke arah lebih bermoral tinggi menepati perjuangan Islam, kata Pengerusi MDN

DALIA ISMAIL 
Baiah Pas perlu ke arah lebih bermoral tinggi menepati perjuangan Islam, kata Pengerusi MDNProf Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi berkata sekiranya Pas ingin meneruskan ‘baiah’ sebagai satu asas kepatuhan ahli kepada pemimpin dan parti yang didokong, baiah itu perlu ditukar kepada sesuatu yang lebih bermoral tinggi yang mengandungi intipati perjuangan Islam berbanding baiah yang meruntuhkan institusi kekeluargaan.
Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) ini berpandangan ‘baiah’ yang dilaksanakan Pas ketika di bawah kepimpinan bekas Mursyidul Am Allahyarham Nik Aziz Nik Mat adalah satu kesilapan Pas Kelantan.

“Pas perlu melihat langkah ke hadapan parti itu hari ini, adalah wajar menukar ‘baiah’ itu kepada sesuatu yang lebih bermoral tinggi mengandungi perjuangan Islam berbanding taat setia yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan.

“Majlis Syura dan Presiden Pas perlu meneliti isu baiah ini kesannya. Walaupun Pas memaksa pemimpinnya tetapi apa yang jelas kita dapati kini, pemimpin mereka keluar Pas sertai dan tubuh parti lain.

“Kesudahannya objektif asal Pas untuk mengikat ‘talak tiga’ itu sebenarnya tidak tercapai. Baiah hanya satu perakuan politik semata-mata,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Tegasnya lagi, MDN sebagai satu institusi yang mengerakkan usaha menyatukan umat Islam di pelbagai peringkat di negara ini, menyambut baik hasrat Majlis Syura Ulamak untuk memuktamadkan baiah talak tiga yang perlu dilafazkan calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 dengan menyelaraskan kandungan baiah parti itu di setiap negeri.

“Kami mengharapkan Pas sebuah parti dasarnya menegakkan Islam, agar dapat berada di landasan yang betul dan tepat untuk memperjuangkan Islam.

“Kami sangat bergembira jika Pas boleh mengubah hal-hal berbangkit (baiah talak tiga) sebegini.

“Jika Pas tidak berubah, memperlihatkan Pas lebih ‘polithinking’ daripada cuba merealisasikan pandangan Islam yang lebih murni dalam sebuah organiasasi Islam,” ujarnya.

Pas melalui Majlis Syura Ulamak (MSU) dijangka akan menggugurkan sumpah baiah talak tiga yang perlu dilafazkan calon parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dijangka akan dimuktamadkan pada 24 Februari ini.

Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin, dalam satu kenyataan dipetik berkata MSU akan membincangkan isu itu secara terperinci termasuk menimbang pandangan ahli badan itu, berhubung keperluan mengekalkan atau menggugurkan taklik talak tiga daripada kandungan baiah.

Menjelaskan isu baiah ini lagi, Dr Mahmood Zuhdi berkata, baiah (sumpah setia) di zaman Rasululllah tidak boleh disamakan dengan baiah yang dilakukan oleh Pas kepada ahlinya.

Beliau berkata, mana-mana perjuangan berkaitan agama tidak boleh pemimpinnya menunjukkan rasa tidak percaya kepada pengikutnya.

“Di zaman pemerintahan Rasulullah saw, baginda memberikan kepercayaan kepada sahabat-sahabatnya untuk melaksanakan perjuangan menegakkan agama Islam.

“Dengan memberikan kepercayaan sepenuhnya tangungjawab yang dilaksanakan itu lebih ikhlas bukan dengan paksaan ke atas pengikut.

“Dalam politik Islam baiah atau pernyataan taat setia itu penting.

“Ketika pelantikan khalifah juga berasaskan baiah selepas kewafatan Rasulullah saw. Baiah ini menjadi tradisi kepada pemimpin Islam seterusnya.

“Tetapi yang dimasukkan dengan baiah Pas ini bukan baiah tapi seperti ‘pentauliahan’.

“Majlis Syura Ulamak memberi mandat dan pemimpin boleh berbaiah untuk tidak melakukan pembelotan terhadap parti dalam siasah.

“Ini baiah politik, jika dilanggar boleh diambil tindakan seperti talak tiga. Baiah talak tiga dalam politik Pas boleh dianggap sebagai satu ‘ugutan’ untuk mengikat ‘baiah’ yang dilafazkan itu.

“Baiah talak tiga adalah sesuatu yang salah dan mengunakan sesuatu hal yang sangat sensitif dalam masyarakat Islam, agama dan tidak menghormati sistem keluargaan.

“Taklik talak tiga itu pula sebenarnya tidak memberi kesan (perceraian). Kita tidak boleh berpegang kepada pandangan taklik ini kerana ia bertentangan dengan objektif asal taklik itu dilakukan,” terangnya.

Tiada ulasan: