"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas tiada peluang, pengaruh Mahathir kuat di Kuala Kangsar

ARIF ATAN
Rata-rata pengundi di Parlimen Kuala Kangsar lebih menyenangi Tun Dr Mahathir memandangkan rekod tokoh berkenaan sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, kata Naib Ketua AMANAH Kuala Kangsar, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli.

Menurutnya, tindakan bekas penggerak utama Bersatu Perak, Datuk Hamidah Osman keluar daripada parti dengan jawatan terakhir sebagai Naib Presiden dilihat tidak menjejaskan sokongan pengundi kepada Bersatu.

“Kesan tidak signifikan sangat kerana ramai pengundi di Kuala Kangsar lebih menyokong Tun Mahathir.

“Memanglah ada penyokong Hamidah tapi tenggelam dengan kepopularan Tun Mahathir,” jelasnya.

Untuk rekod, Hamidah yang juga bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng melepaskan semua jawatannya dan keluar daripada Bersatu pada September tahun lalu.

Ditanya tentang pertembungan tiga penjuru akibat Pas turut meletakkan calon bertanding, Dr Ahmad Termizi berkata, penyokong Pas pun menyedari mereka sukar mendapat tempat di kertas undi bagi Kuala Kangsar.

“Pas tentu akan bertanding. Ramai sudah tahu termasuk orang Pas sendiri, mereka tiada peluang menang di Kuala Kangsar.

“Itu bagi pemilih Pas yang masih rasional. Kalau tegar memang lainlah walaupun Pas selama ini tidak pernah menang di Kuala Kangsar,” ujar Pengerusi Biro Politik AMANAH Perak itu.

Beliau memberitahu majoriti rakyat termasuk di P67 Kuala Kangsar mahukan perubahan yang jelas hanya dimiliki pada Pakatan Harapan.

Sehubungan itu, tegas bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tersebut, peluang memilih untuk menolak Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak akan dibazirkan begitu sahaja.

Parlimen Kuala Kangsar yang mempunyai lebih 30,000 pengundi antara empat kerusi yang akan ditandingi AMANAH Perak pada PRU-14 ini selain Parit, Parit Buntar dan Lumut.

Dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016, Dr Ahmad Termizi memperoleh 4,883 undi; calon Pas, Najihatussalehah Ahmad mendapat 5,684 undi manakala calon BN, Datin Mastura Mohd. Yazid menang dengan majoriti 6,969 undi.

Mengulas tentang penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi difahamkan wujud isu dalaman Umno berkaitan asal balu kepada arwah Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang telah 27 tahun berkhidmat di Parlimen tersebut.

“Umno Kuala Kangsar sendiri saya difahamkan lebih suka pada calon tempatan. Beliau (Mastura) berasal dari Rembau, arwah suaminya orang tempatan. Itu isu antara kalangan Umno sendiri,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: