"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Putar belit fakta: Cara terbaru Pas?

ABU HAFIZ SALLEH HUDIN 
Zamri diminta belajar mengaji semula ekoran videonya buat pelbagai dakwaan palsu.

Video pendek dibawah adalah ucapan Ustaz Zamri Zainuldin @ Zamri ‘Mantop’ melalui laman FB Pas Kawasan Tanjung Karang. Beliau juga adalah Timbalan Pesuruhjaya 3, Pas Selangor.

Dengan sangat yakin dan bangga, beliau menamakan Pakatan Harapan (PH) sebagai Pakatan DAP. Logiknya mudah, pimpinan utama PH melibatkan Tun Mahathir, Datuk Seri Anwar dan Haji Mohamad Sabu dikatakan telah berkompromi dan dengan mudah tunduk kepada Lim Kit Siang (LKS) dan DAP. Mereka telah berkompromi dan menerima LKS. Saya pelik sifir mudah beliau adalah siapa menerima LKS/DAP dikira tunduk patuh kepada LKS/DAP.

Jika demikian sifirnya; PAS dan Datuk Seri Hadi Awang (TGHA) tidaklah sehebat mana seperti mana yang cuba digambarkan oleh penyokong tegar Pas kerana TGHA pernah duduk bersama LKS/DAP di dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

RUU 355 Dimainkan Semula

Bukti lain yang dicanangkan beliau adalah dalam polemik RUU 355. Penolakan RUU 355 yang dibawa oleh Pas bukanlah kerana ingin menolak Islam, tetapi Pas dilihat lebih bermain politik berbanding kejujuran ‘memperjuang’kan hukum Islam. Akhirnya, Pas dipermainkan oleh Umno sehingga penangguhan demi penangguhan dilakukan oleh Presiden Pas di Dewan Rakyat. Malah dalam sidang terakhir tahun 2017, Presiden Pas bukan sahaja tidak menyambung perbahasan RUU 355 malah beliau langsung tidak hadir ke Dewan Rakyat.

Permasalahan RUU 355 telah dibincangkan secara akademik oleh pelbagai pihak dengan penglibatan sebahagian sarjana-sarjana pengajian Islam. Kritikan mereka terhadap RUU 355 tiada kaitan langsung dengan LKS/DAP.

RUU 355 diperdebatkan kerana ia tidak boleh dianggap mewakili Islam secara mutlak dan wujud kejanggalan proses pembentangannya di Dewan Rakyat. Sekiranya RUU 355 mendapat sokongan dan restu pimpinan Umno, mengapa pula pindaan RUU 355 ini tidak dijadikan usul yang dibentangkan sendiri oleh Kerajaan? Bukankah itu lebih kuat dan mudah?

Kalau Ustaz Zamri mengambil isu RUU 355 sebagai kayu ukur serangan beliau seperti mana dalam video tersebut, bukankah pada hujung bulan Mac 17 kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang dikepalai Datuk Seri Najib ‘lemah tengkuk’ dan akhirnya menarik kembali sokongan terhadap pembentangan RUU 355 oleh Presiden Pas setelah menerima bantahan daripada MCA, MIC dan Gerakan selaku parti komponen BN. Amat pelik apabila serangan hanya dihalakan kepada DAP dan PH tanpa sedikit pun menghentam UMNO-BN. Adakah DAP juga yang ‘bersalah’ menghasut UMNO, MCA, MIC dan Gerakan menolak RUU 355? Jelas Pas kini memang mesra UMNO!

Pimpinan Pas pula acapkali mengajak mana-mana pihak yang mempertikaikan perjalanan pengurusan RUU 355 untuk berdebat. Kemuncak keangkuhan Pas dalam isu RUU 355 ini boleh dilihat melalui ucapan bongkak Bendahari Dewan Ulama’ PAS Pusat yang juga Ahli Majlis Syura Ulama’, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali al-Takiri yang ingin ‘sekeh’ kepala seorang mufti yang tidak bersetuju dengan RUU 355. Setelah cabaran debat RUU 355 disahut, tokoh ulama Pas itu senyap seribu bahasa dan bersegera mencari ‘suaka’ di hujung utara tanah air mencari jalan melepaskan diri. Jelas RUU 355 hanya mainan politik Pas!

Memainkan Sentimen kes Indira Ghandi

Ustaz Zamri juga secara terbuka menuduh bahawa anak-anak Saudara Ridhuan Abdullah dalam kes ini: “terpaksa diMURTADkan oleh keputusan mahkamah”. Keputusan ini dakwa Ustaz Zamri menggembirakan DAP dan sekutunya yang anti Islam.

Saya tidak pasti sama ada Ustaz Zamri tidak membaca ringkasan keputusan mahkamah, tidak langsung mengambil tahu fakta kes atau secara tidak jujur ingin mengubah fakta dengan berbohong? Adalah tidak salah untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan selagi mana ia berdiri atas penghujahan fakta dan tidak memanipulasi penghakiman itu demi kepentingan politik sempit Pas.

Ustaz Zamri tidak perlu gopoh untuk mudah menyimpulkan bahawa anak-anak itu terpaksa dimurtadkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari 2018 yang lalu. Mahkamah Persekutuan, antara lain, hanya menghakimi proses pendaftaran Islam tiga orang anak Ridhuan Abdullah dan Indira Ghandi dengan tugas utama menjawab isu sama ada pengislaman anak mereka boleh dilakukan sepihak atau mesti dengan persetujuan kedua belah pihak. Ia adalah isu penafsiran undang-undang bukan cubaan memurtadkan mana-mana pihak. Apa yang telah diputuskan hanyalah tafsiran terbaik, pada hemat mahkamah, berdasarkan undang-undang yang ada. Tidakkah keadilan yang cuba dilakukan dibuat oleh mahkamah dengan membuat keputusan secara objektif tanpa didorong oleh kepercayaan dan keyakinan moral peribadi.

Dalam kes Indira Gandhi ini, Seksyen 106 (b), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 menetapkan seseorang boleh memeluk Islam ‘jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan secara bertulis pemelukan agama Islam olehnya.’ Mahkamah Persekutuan bagaimanapun memutuskan peruntukan ini harus selaras dengan Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan keizinan ibu dan bapa diperolehi.

Kalau Ustaz Zamri bersungguh melawan ‘projek pemurtadan’ orang Islam dengan merujuk keputusan kes Indira Ghandi yang mewajibkan perlunya persetujuan kedua belah pihak (ayah dan ibu bersekali), maka Ustaz Zamri dipersilakan menuduh perkara yang sama kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana hal yang sama telah lama diperuntukkan dalam Seksyen 117 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Seksyen 117 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 menyebutkan dengan jelas berkaitan syarat untuk membolehkan kanak-kanak bawah umur memeluk Islam: “jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu DAN bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya”. Undang-undang ini mensyaratkan kedua ibu bapa mesti bersetuju barulah proses pendaftaran pemelukan kepada agama Islam sah dilakukan.

Tidakkah Seksyen 117 (b) ini selari dan sama dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu? Mahukah Ustaz Zamri menuduh dengan terbuka bahawa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mahkamah Syariah Selangor (apabila kes dikemukakan kepada mahakamah) dan Sultan Selangor telah dihasut dan tunduk dengan arahan DAP?! Pas telah bersama dengan kerajaan Selangor sejak 2008. Sanggupkah pula Ustaz Zamri menuduh Exco-Exco PAS ini bersekongkol ‘memurtadkan’ anak orang Islam apabila tidak melakukan apa-apa untuk merubah Seksyen 117 (b) itu? Jelas Pas bermain politik!

Sebenarnya Ustaz Zamri boleh sahaja berbeza pandangan. Namun beliau tidak perlu menggunakan cara serangan buruk dengan bahasa dan tuduhan jahat seperti yang dipertontonkan kepada umum melalui FB PAS KAWASAN TANJUNG KARANG.

Kesimpulannya, Pas mutakhir ini selesa menjadikan isu Islam sebagai modal politik sempit. Rakyat dan pengundi Melayu Islam harus beringat bahawa Islam ini lebih luas daripada apa yang digambarkan oleh Pas dan ianya milik semua merentasi bangsa apatah lagi lambang kepartian. Islam tidak akan sama sekali terbela dengan ucapan berniat jahat dan menuduh secara melulu walaupun kepada bukan Islam. Pilihlah Pakatan Harapan yang lebih santun dalam menyampaikan mesej Islam.

* Penulis adalah Timbalan Pengerusi, Biro Dasar & Strategi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Tiada ulasan: