"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengejutkan dari Prof. Dr. Agus Yusoff- PAS akan kalah teruk, hilang Kelantan

PRU14 | Penganalisis politik Profesor Dr Mohammad Agus Yusoff meramalkan pilihan raya kali ini sebagai pertembungan antara BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN).

PAS pula, menurutnya, akan kalah teruk dan malah kemungkinan besar akan kehilangan Kelantan.

"PAS adalah parti yang akan kalah teruk dalam PRU ini (dan) kerajaan PAS akan jatuh di Kelantan.

"Alasan kenapa saya berpandangan sedemikian telah saya hujahkan dalam kenyataan saya sebelum ini," katanya di Facebook hari ini.

Tidak dapat dipastikan kenyataan terdahulu yang dirujuknya sebagai hujah kepada prestasi buruk PAS pada PRU ke-14.

Namun pada 21 April 2017, beliau menyenaraikan sebab Umno mampu merampas negeri itu, iaitu kegagalan kerajaan PAS mengatasi masalah rakyat dan membangunkan negeri serta pemimpin Umno yang lebih peka dan kedudukan kewangan parti itu yang lebih kukuh.

"PAS perlu mengubah pendekatan kempen dan ceramahnya jika mahu kembali mendapat tempat di hati rakyat. Isu rakyat perlu dijawab secara berhemah dan berfakta...Dalam politik PAS perlu berpijak di alam nyata," katanya juga di Facebook.

Bagi BERSATU dan AMANAH di negeri itu, beliau berkata kedua-duanya perlu lebih giat mendekati rakyat negeri itu.

Pada hantaran bertarikh 13 Mac 2017 pula, beliau menasihatkan agar PAS mengubah pendekatan politiknya jika mahu terus mentadbir Kelantan.

Ketika itu, beliau menyifatkan politik parti itu sudah hilang arah dengan ceramah yang sarat dengan cercaan, berbeza dengan gerak kerja Umno dan HARAPAN yang lebih lembut dan bersifat memujuk.

Berhemah dalam politik

Hantaran terbaru ini isu politik pertama yang disentuhnya sejak mengambil keputusan untuk 'berpuasa' daripada membicarakan soal itu beberapa bulan lalu.

Sebelum itu, pandangan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia sering mencuri tumpuan terutama berkaitan PAS dan Kelantan.

Apatah lagi selepas beliau dilihat berani mengutarakan pandangan yang agak positif terhadap pembangkang ketika mengacarakan rancangan bual bicara Hujah di TV9 selepas PRU 2008.

Mohammad Agus juga berharap semua pihak dapat berpolitik secara beretika walaupun dengan suasana pilihan raya yang sememangnya 'panas'.

"Pandangan saya betul pada hemat saya dan mungkin salah pada hemat yang lain...Semoga PRU berjalan dengan baik, dan kita tunggu saja keputusannya 9 Mei nanti," katanya lagi.
-malaysiakini

Tiada ulasan: