"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seorang dari 9 ADUN BN Perlis Belot?

Seorang dari 9 ADUN BN Perlis hadir taklimat bersama MB

Seorang daripada sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada majlis pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Perlis Khamis lepas, hari ini menghadiri taklimat bersama Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man di kediaman rasminya di Kangar..

ADUN Kayang, Hamizan Hassan difahamkan berada di Dewan Residensi di kediaman itu untuk taklimat persidangan Umno dan perasmian berkelompok persidangan cawangan dan Sayap Umno bahagian Kangar.

Ketika ditemui pemberita selepas taklimat itu, Hamizan berkata beliau hadir pada taklimat hari ini atas kapasiti sebagai ketua Pemuda Umno bahagian Kangar dan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

“Menteri besar dan saya berada dalam satu bahagian dan tujuan perjumpaan hari ini adalah untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan pergerakan Umno bahagian,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun ditanya adakah kehadiran pada hari ini menunjukkan beliau menyokong pelantikan Azlan sebagai menteri besar, beliau berkata: “Saya menjunjung titah Tuanku (Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail).”

Sembilan ADUN BN itu tidak hadir pada majlis pelantikan MB kerana mendakwa bahawa pelantikan tidak mendapat sokongan majoriti anggota DUN berkenaan.

Mereka sebaliknya berada bersama Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di Kuala Lumpur dan Shahidan kemudiannya pada sidang akhbar mengumumkan cadangan memecat keanggotaan Azlan dalam parti.
-Bernama

Tiada ulasan: