"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

WSJ: Jho Low di Phuket tunggu Najib menang PRU14

Ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho, yang didakwa sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB, berada di Phuket, Thailand beberapa hari sebelum pilihan raya umum ke-14 Malaysia, lapor The Wall Street Journal (WSJ).

Bagaimanapun, apabila keputusan pilihan raya tidak memihak Datuk Seri Najib Razak, Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low yang mempunyai hubungan rapat dengan bekas perdana menteri itu meninggalkan Thailand dan tidak dapat dikesan oleh radar, kata laporan itu.

Menurut laporan itu, Low begitu yakin bahawa dia dapat belayar bebas di sebalik pengawasan terhadapnya berhubung siasatan skandal 1MDB oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, sehingga dia "berpesta sambil mengelilingi Asia.”

"Low tidak gentar dan berpesta pada Februari lalu dengan kawan-kawan selebriti di pulau perjudian Cina Macau.

"Dia menganjurkan majlis hari jadi untuk sekutunya, Eric Tan, yang menurut DOJ terlibat dalam skandal 1MDB, pada bulan Februari di hotel Macau, itu,” kata sumber yang rapat dengan penganjuran pesta berkenaan.

Produser hip-hop Swizz Beats dan penyanyi Nicole Scherzinger juga diterbangkan khas ke pulau itu untuk menghiburkan mereka.

"Dia (Low) berada di Phuket bulan ini kerana menjangkakan kemenangan Najib, sekutunya, kata sumber itu. (Namun) sejak pilihan raya, menyedari perkembangan tidak lagi memihaknya, Low mula meninggalkan Thailand dan mengambil sikap lebih berhati-hati,” kata laporan itu.

Menurut DOJ, sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diselewengkan dari 1MDB termasuk melalui sistem kewangan AS dan telah memulakan tindakan undang-undang untuk mendapatkan danan itu semula.

Memetik sumber, WSJ melaporkan Low terus berhubungan dengan Najib secara langsung dan dengan mereka yang kenalan rapat mereka pada hari-hari menjelang PRU14.

"Hubungan rapatnya dengan Najib, yang telah berkuasa hampir sedekad, membuatnya beranggapan dirinya adalah kebal, kata sumber itu.

"Peranan Low, kata mereka, adalah untuk membantu Najib membendung skandal 1MDB selepas ia didedahkan pada tahun 2015, khususnya melalui laporan yang diterbitkan oleh Wall Street Journal. Untuk itu, Low bergantung kepada sekutunya di China.

"Di China dan di sekeliling Asia, Low menikmati status istimewa dan mendapat perlindungan walaupun selepas skandal itu bocor. Dia bergerak dengan pengawal peribadi yang dikatakan dibekalkan oleh Beijing. Dia membawa lebih daripada enam telefon, masing-masing untuk kenalan berbeza di seluruh dunia,” petik laporan itu.

WSJ sebelum ini melaporkan mengenai dana RM2.6 bilion yang berada dalam akaun peribadi Najib, yang didakwa berasal dari 1MDB.

Namun bekas perdana menteri itu menafikan sebarang salah laku dan berkata bahawa wang tersebut adalah daripada seorang penderma Arab Saudi dan mendakwa sebahagian daripadanya telah dikembalikan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membebaskan Najib dari sebarang salah laku mengenai perkara itu.
-malaysiakini

Tiada ulasan: