"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Bunuh kekasih hamil, bekas polis kekal ke tali gantung

Bernama 
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang bekas anggota polis berpangkat korporal kerana membunuh kekasihnya yang mengandung pada 2015.

Penal 3 hakim terdiri daripada Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak rayuan Muhammad Faizal Salim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati kepadanya atas kesalahan itu.

Mohtarudin yang mempengerusikan penal itu berkata mereka berpandangan isu yang dibangkitkan oleh peguam Muhammad Faizal dalam rayuannnya tidak mempunyai merit.

Muhammad Faizal, 40, di dapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 28 Februari tahun lepas kerana membunuh Norzielawati Akmar Afandi, 35, di taman rekreasi Hutan Bandar Bukit Cantik di Mersing Johor antara 11 malam 12 April 2015 dan 12.30 pagi 12 April 2015.

Berdasarkan fakta kes, seorang saksi pendakwaan yang merupakan jiran tertuduh memberi keterangan bahawa beliau mendengar suara seorang wanita dan tertuduh (Muhammad Faizal) sedang bergaduh.

Saksi berkenaan, Sarjan Zainuddin Bakar berkata beliau mendengar suara seorang wanita mengerang kesakitan dan beliau juga mendengar wanita itu berkata dalam bahasa Melayu “Jangan pukul saya macam ini saya sedang mengandung”.

Seorang doktor di Wad Kecemasan Hospital Mersing memeriksa Norzielawati dan mengesahkan wanita itu meninggal dunia.

Laporan bedah siasat mendapati punca kematian Norzielawati ialah hentakan kuat dengan benda tumpul pada kepala dan si mati juga mempunyai 47 kecederaan lain di badan seperti kesan lebam, luka dan kelupasan.

Pemeriksaan dalaman juga menunjukkan si mati mengandung 6 bulan.

Dalam rayuan hari ini, peguam Muhammad Faizal, Subash Ramasamy memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dan si mati merupakan sepasang kekasih dan pertengkaran itu merupakan pertengkaran pasangan sedang bercinta.

Beliau berkata sabitan Muhammad Faizal kerana membunuh adalah tidak selamat dan meminta mahkamah meminda pertuduhan kepada kesalahan membunuh tanpa niat kerana Muhammad Faizal tidak mempunyai hasrat untuk membunuh si mati.

Timbalan pendakwa raya Nurshafini Mustafha berhujah Muhammad Faizal mempunyai niat mencederakan si mati dan bentuk kecederaan pada tubuh si mati biasanya membawa kepada kematian.

Muhammad Faizal mempunyai satu lagi peluang untuk merayu iaitu di Mahkamah Persekutuan.

Tiada ulasan: