"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno ramal PRK Sungai Kandis, Balakong bukan yang terakhir

Adam Abu Bakar 
SHAH ALAM: Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa meramalkan pilihan raya kecil (PRK) di DUN Sungai Kandis dan Balakong bukan PRK yang terakhir.

Di depan kira-kira 1,000 penyokong Barisan Nasional (BN), beliau berkata akan ada lebih banyak PRK namun tidak menyebut secara spesisifik lokasinya.

“Tuan-tuan tahu atau tidak kenapa kita adakan pilihan raya kecil, kerana tuhan hendak mengutuskan untuk adakan pilihan raya kecil. Dia hendak uji Selangor.

“PRK Sungai Kandis belum siap lagi hendak berkempen, sudah ada satu lagi di Balakong. Saya percaya selepas ini Tuhan akan tentukan banyak lagi pilihan raya kecil, tidak tahu di mana, Langkawi atau di mana.

“Jangan Ketereh sudah. Namun setiap kejadian itu kita terimalah sebagai suatu ketentuan Ilahi,” katanya di Command Centre BN, Sungai Kandis, semalam.

Ahli parlimen Ketereh itu turut meramalkan tempoh paling lama Putrajaya ditadbir Pakatan Harapan (PH) adalah selama 2 tahun setengah.

“Menteri PH punya pening tidak tahu yang manakah dasar dan yang manakah cakap-cakap di kedai kopi, sebab itu ada menteri tomato, menteri ikan dan menteri cap ayam.

“Kenapa kita ambil keputusan bertanding, boleh sahaja tidak bertanding di Sungai Kandis dan Balakong, tetapi kita tidak benarkan lawan menang tanpa bertanding, lawan tetap lawan,” katanya.

Annuar juga meminta kepimpinan PH tidak mencampuri urusan antara BN dan PAS dalam merangka strategi bagi menjalankan tugas sukar memenangi DUN Sungai Kandis.

“Soal kita hendak beradik-beradik dengan siapa, hendak berpakat dengan siapa, ia bukan urusan Tun Dr Mahathir Mohamad, ia urusan kita sebagai parti pembangkang.

Sementara, Timbalan Presiden Umno Datuk Mohamad Hasan pula berkata, PRK adalah sebahagian dari latihan untuk jentera BN mempersiapkan diri menghadapi PRU akan datang.

“PRK yang berlaku akan datang, tidak lama lagi akan banyak lagi berlaku PRK. Tidak lama lagi, kita bukan doakan yang tidak baik, tetapi bersiap sedialah.

“Kita hendak pastikan supaya Umno dan BN bersiap siaga untuk menyiapkan diri kita dalam pilihan raya yang ke-15 mulai sekarang, apatah lagi kita tidak lagi menjadi parti kerajaan.

“Semuanya bukan lagi berpihak kepada kita, maka latihan untuk kita melatih jentera untuk kita ambil bahagian dalam pilihan raya umum nanti, yang terbaik adalah PRK,” katanya.

Tiada ulasan: