"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Setiausaha AMK S'gor letak jawatan, dakwa kronisme, nepotisme

Menjelang pemilihan parti bulan depan, Setiausaha Pemuda PKR Selangor Syed Badli Shah Syed Osman mengumumkan peletakan jawatan selepas mendakwa berlaku amalan kronisme dan nepotisme di kalangan pimpinan parti di negeri itu.

Syed Badli mendakwa sikap mementingkan kroni semakin parah apabila hanya 'pengikut kabilah' tertentu diberikan habuan dari segi jawatan lantikan politik.

"Saya menyelar sikap segelintir pemimpin PKR Selangor yang menjadikan habuan jawatan lantikan politik sebagai usaha untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa.

"Secara jelas jawatan- jawatan lantikan politik hanya diberikan kepada mereka yang menunjukkan taat setia kepada kabilah tertentu dan tidak lagi menerusi merit," dakwanya dalam satu kenyataan media.

Syed Badli mendakwa dalam penentuan jawatan ahli majlis misalnya nama-nama mereka yang dicadang daripada peringkat cabang diketepikan walaupun sudah 'berjuang sekian lama' dalam parti itu.

"Sikap kuku besi terserlah dengan tidak meraikan perbezaan pendapat dan dianggap menderhakai kepimpinan negeri.

"Budaya tegur-menegur tidak lagi subur dalam Keadilan (PKR) Selangor akibat dari sikap angkuh dan sombong segelintir kepimpinan negeri.

"Mereka lebih gemar kepada ahli yang hanya tunduk dan patuh tanpa mengeluarkan sebarang pendapat yang bercanggah," dakwanya.

Justeru itu, Syed Badli berkata beliau meletakkan jawatan berkuat-kuasa serta merta sebagai setiausaha AMK Selangor kerana menganggap demokrasi telah mati dalam PKR Selangor.

"Saya juga menggesa kepimpinan utama Parti Keadilan Rakyat untuk campur tangan dalam isu pembahagian jawatan lantikan politik di Selangor yang jelas kelihatan berat sebelah," katanya.

PKR Selangor dipimpin oleh pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga merupakan bekas menteri besar Selangor.

Malaysiakini sedang berusaha untuk mendapatkan respon daripada pimpinan PKR Selangor berikutan dakwaan Syed Badli Shah.
-malaysiakini

Tiada ulasan: