"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Majlis Penasihat berselisih dengan pemimpin Harapan

 
Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dilaporkan bercanggah pendapat dengan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) berhubung keputusan kerajaan, kata akhbar Straits Times Singapura.

Laporan itu, yang memetik pegawai kerajaan, berkata campur tangan CEP menyaksikan perubahan beberapa kakitangan utama dalam kerajaan, termasuk peletakan jawatan gabenor Bank Negara, dua hakim kanan dan speaker Dewan Rakyat.

Untuk jawatan speaker PKR dan DAP dilaporkan mahu calon yang berbeza.

Akhbar itu juga melaporkan tahap campur tangan oleh anggota CEP, Tun Daim Zainuddin cukup meresahkan pemimpin HARAPAN.

Timbalan Ketua Dasar dan Strategi, BERSATU, Wan Saiful Wan Jan dipetik sebagai mengakui terdapat perbincangan mengenai peranan CEP bukan hanya di kalangan menteri dan pemimpin parti tetapi juga di pegawai kanan kerajaan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini, berkata CEP hanya akan berfungsi selama 100 hari tetapi laporan itu berkata terdapat kebimbangan bahawa hayat majlis tersebut kini mungkin dilanjutkan.

"Mahathir perlu berhati-hati untuk tidak terlalu bergantung kepada Daim sebagai penyelesaisegala masalah, tetapi mampukah Mahathir menghentikan seseorang seperti Daim?" soal felo kanan, Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam Johan Saravanamuttu, seperti dipetik oleh Straits Times.

Laporan itu juga mendedahkan mengenai kebimbangan omuniti perniagaan, dengan memetik Pengarah Asia, Kumpulan Eurasia, Peter Mumford sebagai berkata:

"CEP mengurangkan peranan kabinet dalam beberapa segi, meningkatkan risiko kekeliruan dasar dan keprihatinan mengenai pentadbiran selari.

“Para pelabur mahu mengelakkan diri daripada mempunyai dua menteri kewangan dan penjelasan mengenai siapa yang berkuasa."

Straits Times menambah, terdapat spekulasi CEP juga mahu pengurusan tertinggi Khazanah meletakkan jawatan susulan cadangan memindahkan entiti itu ke Jabatan Perdana Menteri.

Ia menambah, Daim juga tidak bersetuju dengan rundingan semula projek LRT3 dan MRT2, sebaliknya dilaporkan memihak kepada tender semula secara terbuka.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mengumumkan perjanjian rundingan semula LRT3 bakal menyaksikan pengurangan kos dari RM31.45 bilion kepada RM16.63 bilion.

Laporan itu memetik seorang pemimpin HARAPAN sebagai berkata, keputusan kabinet yang meluluskan cadangan Lim berbanding Daim, menunjukkan Mahathir tidak seratus-peratus memihak Daim.
-malaysiakini

Tiada ulasan: