"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dah salah tak nak mengaku, bayar je la RM 200,000 tu

Rayuan Razman ditolak, ganti rugi RM200,000 Nizar dikekal
N Faizal Ghazali
Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria gagal dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan Mahkamah Sesyen Ipoh yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM200,000 kepada Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Peguam Nizar, Mohd Fitri Asmuni, berkata Razman juga diarah membayar kos guaman sebanyak RM5,000.

"Mahkamah berpendapat keputusan Mahkamah Sesyen itu mempunyai kebenaran bahawa Nizar berjaya membuktikan Razman telah memfitnah beliau melalui rencana yang diterbitkan oleh Sinar Harian.

"Mahkamah juga berpendapat ganti rugi sebanyak RM200,000 itu wajar, manakala tuntutan balas Razman terhadap Nizar juga ditolak," katanya ketika dihubungi.

Kes itu didengar di depan Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis dan peguam Mohd Harris Abdullah bertindak mewakili Razman.

Razman disaman oleh Nizar ekoran kenyataan dibuatnya mengenai bekas menteri besar perak berkenaan.

Kenyataan itu disiarkan akbar Sinar Harian edisi Perak pada 2 Jun 2015 dengan tajuk “Pendekatan Nizar Mirip DAP”.

Untuk rekod, Nizar adalah bekas pemimpin PAS Perak dan dilantik menjadi menteri besar di negeri itu selepas pilihan raya umum 2008 sebelum kerajaan Pakatan Rakyat ditumbangkan melalui gerakan mengejut di dewan undangan negeri.

Bersama pemimpin lain yang tidak sehaluan dengan kumpulan proulama, Nizar diketepikan dalam pemilihan PAS pada 2015.

Keputusan mengenai rayuan Razman dibuat sehari selepas beliau merayu kepada anggota PAS supaya memberi sumbangan kepada parti bagi mengumpulkan dana sebanyak RM135,000 bagi membayar tunggakan ekoran gagal dalam petisyen pilihan raya 2013.

Terdahulu Razman melalui hantaran di media sosial sempat membuat catatan sebelum keputusan dibacakan hari ini.

"Doa yang terbaik dari Allah.

"Apa pun keputusan itu (yang) terbaik dari Allah untuk kita,," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini, Razman yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.

Bagaimanapun, beliau kelihatan tetap bersemangat di sebalik kegagalan berkenaan.

"Kita tunggu keputusan di Mahkamah Rayuan nanti.

"Keputusan mahkamah tadi tu biasalah... apabila kita kalah orang akan kata kita salah.

"Itu adatlah, nak buat macam mana," katanya.

Ditanya mengenai jumlah bayaran yang terpaksa dijelaskan itu Razman berkata: "Ya agak besar juga, tengoklah macam mana," katanya.

Pada perbicaraan tadi mahkamah membenarkan permohonan Razman untuk menangguhkan bayaran ganti rugi RM200,000 tersebut sehingga keputusan di Mahkamah Rayuan dibuat.
-malaysiakini

Tiada ulasan: