"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas naib presiden Gerakan sertai Amanah

Bernama

TAWAU: Bekas Naib Presiden Gerakan, Tan Sri Liew Yun Fah bersama lebih 1,000 orang dari Parlimen Tawau dan Kalabakan menyertai Amanah hari ini.

Borang keahlian mereka diserahkan kepada Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam satu majlis parti itu.

Mohamad ketika ditemui pemberita berkata penyertaan beramai-ramai itu sebagai satu permulaan gelombang baru dan sekali gus membuktikan Amanah mulai diterima dan semakin berkembang di Sabah.

“Bilangan ahli di Sabah lebih sekitar 5,000 orang dan semakin bertambah selepas pilihan raya umum lalu.

“Amanah mula mendapat tempat di Sandakan dan kini semakin berkembang dan saya yakin dengan kemasukan ahli baharu di Sabah ini, Amanah mampu menjadi parti berperanan penting di Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Mohamad berkata masyarakat sebenarnya menerima Amanah sebagai parti multi-racial namun tiada publisiti mengenai perkara tersebut.

“Masyarakat Sabah ini bersikap lebih terbuka dan masyarakatnya tidak kuat berasaskan perkauman atau fahaman aliran agama tertentu, ekoran itu Amanah memiliki potensi di Sabah,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk penyertaan orang bukan Islam kerana Amanah merupakan sebuah parti multi-racial.

“Dalam jawatankuasa tertinggi Amanah sendiri terdapat 2 orang bukan Islam cuma perkara ini tiada publisiti,” katanya.

Mohamad dalam pada itu tidak menafikan bahawa terdapat cakap-cakap berkaitan ahli pembangkang di Sabah mahu menyertai Amanah namun belum dapat dipastikan kebenarannya.

“Namun, sekiranya ada ahli pembangkang yang mahu menyertai Amanah perkara ini akan dibincang ke peringkat tertinggi,” katanya.

Sementara itu, Liew yang juga komander Rejimen 516 Askar Wataniah berkata kemasukannya didorong oleh keprihatinan Mohamad terhadap Sabah.

“Beliau sejak memegang portfolio menteri pertahanan sendiri bermalam di laut (Zon Selamat Timur Sabah) untuk melihat sendiri keselamatan di Sabah, dan pemimpin sebegini perlu untuk negeri ini,” katanya lagi.

Tiada ulasan: