"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muat naik senarai nama anggota polis didakwa terlibat kartel, bekas inspektor ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang bekas pegawai polis berpangkat inspektor ditahan kerana memuat naik dan menyebarkan dakwaan bahawa beberapa pegawai polis terbabit dalam pelbagai aktiviti jenayah terancang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Alor Setar, Kedah pada 11.24 malam semalam.

Polis turut merampas beberapa barangan, antaranya sebuah laptop, telefon bimbit, pemacu pen, kad SIM dan beberapa gajet yang kemudian dihantar ke makmal forensik polis untuk dianalisa.

Huzir berkata, suspek dipercayai marah, tidak puas hati dan berdendam dengan pegawai dan anggota D7 Bukit Aman kerana mengambil tindakan terhadapnya sehingga diberhentikan kerja dan dikenakan hukuman pengawasan selama dua tahun di Alor Setar mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Suspek telah dijatuhkan hukuman pengawasan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah di bawah Op Mualang yang dilaksanakan oleh Bahagian D7 Gengsterisme JSJ Bukit Aman bagi mencegah aktiviti kongsi gelap di sekitar Klang, Selangor.

“Suspek juga dikesan pernah membuat beberapa tohmahan sebelum ini terhadap pegawai dan anggota D7 Bukit Aman,” kata beliau dalam kenyataan.

Sebelum ini tular di media sosial satu artikel berbentuk laporan dengan tajuk “Maklumat kumpulan kartel bahagian D7 Bukit Aman yang terlibat salah guna kuasa melindungi, bersubahat, bersekongkol, dan menerima rasuah dari pelbagai jenayah terancang”.

Huzir berkata, penularan maklumat itu menimbulkan kegusaran masyarakat, kerana salah laku yang didakwa melibatkan pegawai dan anggota polis D7 Bukit Aman.

“Di dalam artikel itu, satu senarai nama pegawai dan anggota D7 JSJ Bukit Aman telah dimuatnaik.

“Pegawai dan anggota ini juga ditohmah dengan beberapa sindiket terancang seperti geng Nicky, geng Addy Kanna, Geng Wan Padang Besar, Geng Pak Su Bukit Kayu Hitam dan Geng Tiger 99 dan telah memberikan imej negatif kepada pasukan polis,” kata beliau.

Tambah beliau, sehingga hari ini, empat pegawai polis yang disebut dalam tohmahan itu sudah membuat laporan dengan empat kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Tiada ulasan: