"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 beranak nyaris maut, gerai air tebu dirempuh pemandu ‘lalok’ dadah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang ibu dan dua anaknya nyaris maut apabila gerai jualan kuih-muih dan air tebu mereka dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki bawah pengaruh dadah di Jalan Limbongan, Melaka, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Hasan Basri Yahya, berkata mangsa, Norazizah Jenal, 57, dan dua anaknya Muhammad Aliff Hazimie Samsudin, 13, serta Nurul Ayu Umairah, 15, cedera di bahagian kaki, perut serta bahu, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

Difahamkan, dalam kejadian 5.15 petang itu, tiga beranak tersebut sedang menjual juadah kuih-muih dan air tebu sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang datang dari arah Bandar Melaka.

“Kereta yang dipandu lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh gerai jualan anak-beranak berkenaan,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, siasatan mendapati, pemandu yang bekerja sebagai juruteknik itu tidak mempunyai lesen memandu dan saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan heroin.

“Hasil siasatan lanjut, dia juga mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah dan permohonan reman terhadapnya dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, pemandu kereta terbabit ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 43 (1) serta Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: