"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siang diliwat abang, malam dirogol ayah, polis tahan 4 suspek dan kakak ipar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dikatakan menjadi mangsa pemuas nafsu bapa dan tiga abang kandungnya yang didakwa merogol dan meliwatnya berulang kali sejak tahun lalu.

Semua empat lelaki berkenaan ditahan polis semalam selepas mangsa yang sudah kematian ibu itu membuat laporan polis pada 2.59 petang kelmarin.

Mangsa dikatakan diberi minuman dicampur bahan disyaki dadah oleh suspek sebelum dirogol, selain diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Mohd Sukri Kaman berkata, semua suspek dan seorang wanita yang juga kakak ipar mangsa, berusia antara 23 hingga 48 tahun, ditahan antara 12.45 tengah malam hingga 1.13 pagi semalam.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, kejadian didakwa berlaku di Tanjung Minyak dan mangsa mendakwa dirogol serta diliwat secara bergilir-gilir oleh tiga abangnya di rumah.

“Mangsa juga dikatakan diberi minuman dicampur bahan disyaki dadah oleh suspek sebelum dirogol, selain kedua-dua tangan serta kakinya diikat menggunakan tali rafia di penjuru katil, manakala mulut pula ditutup dengan pita pelekat.

“Pada waktu malam pula, mangsa mendakwa dirogol bapa dan akan dipukul jika melawan,” beliau dipetik berkata oleh Berita Harian.

Sukri berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian didakwa berlaku sejak Februari 2020 dan kali terakhir pada hujung Februari lalu.

“Suspek didakwa melakukan perbuatan itu secara bergilir-gilir ketika berada bawah pengaruh dadah,” katanya.

Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati tiga daripada suspek positif dadah dipercayai jenis methamphetamine, tambahnya.

Semua yang ditahan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: