"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Budak 3 tahun jadi penagih dadah angkara ayah tiri

MALAYSIA DATELINE

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun didapati positif dadah jenis Amfetamina dan Methapetamina.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman, berkata laporan itu diterima daripada doktor yang bertugas di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur (Wad Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur) berkaitan ujian air kencing yang dijalankan terhadap kanak-kanak itu, 17 April lalu.

Mohd Fazley berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan dijaga oleh bapa tirinya di Nilai pada 14 April lalu, lapor Bernama. 

“Keesokan harinya, ibu kepada kanak-kanak itu telah membawa anaknya ke hospital untuk mendapat rawatan kerana melihat anaknya berkelakuan aneh dan tidak seperti kebiasaannya.

“Rawatan yang dilakukan di hospital berkenaan mendapati kanak-kanak itu positif dadah jenis Amfetamina dan Methapetamina,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sehubungan itu, katanya, polis sedang mengesan bapa tiri tersebut yang bernama Mohd Faresh Khalid berusia 38 tahun dan bekerja sebagai tukang jahit pakaian.

Alamat terakhir lelaki itu di C-13-7 Apartment Mawar Sari Setiawangsa, Kuala Lumpur dan PT 8413 Jalan 5/4B, Taman Desa Jasmin, Nilai.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 14(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi ASP Md Nurazam Md Ghazali di talian 013-800 5225 dan Pegawai Penyiasat Inspektor Rozainita Aida Mohamed Bakri di talian 011-3333 0025/ Inspektor Normi Hashim (013-694 9623) atau balai polis berhampiran.

Untuk rekod, lima kanak-kanak berusia kurang 12 tahun direkodkan terlibat dalam penyalahgunaan dadah pada 2019 dan seramai 3,289 remaja berusia 13 hingga 18 tahun pada tahun sama.

.

Tiada ulasan: