Malaysiakini
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menegaskan partinya bersedia berdepan PAS pada pilihan raya negeri (PRN) Johor sekiranya kedua-dua parti itu bertanding di kerusi yang sama.
Muhyiddin dipetik Harian Metro berkata pertembungan itu disebabkan ketiadaan 'musyawarah' bersama PAS berhubung kerusi yang ditandingi dalam PRN Johor.
"Pasal tak ada lagi nak 'bermesyuwarah'. Kau lawan sana, kau lawan sini, nak lawan sama kerusi," katanya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam tadi.
Muhyiddin berkata Bersatu akan mengumumkan senarai calon bagi PRN Johor dalam masa terdekat.
Sementara itu, Muhyiddin dipetik media tempatan menjelaskan Bersatu tidak mahu sebarang konflik dalam PN namun parti itu bersedia menghadapi apa juga kemungkinan susulan keputusan PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.
"Itu keputusan berdasarkan pertimbangan mereka, kita terima dan kita sudah pun buat kenyataan rasmi bahawa keputusan itu dibuat oleh PAS, bukannya Bersatu.
"Kita bersedia untuk berjuang, apa yang hendak takut sangat kerana inilah politik, kita akan hadapi dan kita berjaya," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Menurut Muhyiddin lagi, Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar wajar mengadakan pertemuan dengan semua parti komponen bagi membincangkan agihan kerusi PRN Johor.
Bagaimanapun, katanya, Bersatu sehingga kini belum menerima sebarang tarikh mesyuarat berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, Muhyiddin juga menegaskan Bersatu akan kekal sebagai komponen dalam PN serta akan menggunakan logo gabungan politik berkenaan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos ini.
Menurutnya Bersatu tidak boleh disingkirkan daripada PN secara unilateral atau berdasarkan keputusan satu pihak sahaja.
"Kalau ikut perlembagaan, ada perkara-perkara dan fasal-fasal tertentu yang perlu dipatuhi... mereka mesti mematuhi peruntukan tersebut dan perlu mencapai konsensus," katanya seperti dipetik Bernama.
Sebelum ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Konvensyen Reset di Kelantan pada 13 Jun lalu menegaskan hubungan partinya dengan Bersatu sudah berakhir, sekali gus menyerahkan kepada parti pimpinan Muhyiddin itu untuk menentukan sama ada mahu kekal dalam PN atau sebaliknya.
Abdul Hadi juga mengumumkan penyertaan - parti pimpinan Hamzah Zainuddin yang digerakkan bekas ahli Bersatu yang dipecat - Wawasan Negara ke dalam PN.
“PAS dah bersetuju dan kita dah berpisah dengan Bersatu.
“Jadi terpulanglah kepada dia (Bersatu) nak keluar atau nak kekal lagi, terpulang pada dialah.
“Tapi Parti Wawasan Negara (pimpinan Hamzah Zainudin) nak masuk PN tidak ada masalah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan