FMT Reporters
PETALING JAYA: PRN Johor akan menentukan naratif menuju PRU16, peluang untuk pengundi menyatakan politik kerja mengatasi politik berasaskan sentimen.
Ahli majlis pimpinan PKR, Yuneswaran Ramaraj, berkata rakyat Johor tidak lagi sekadar penonton sebaliknya ‘hakim’ yang menilai berdasarkan prestasi, dasar, kemampuan dan integriti.
Ahli Parlimen Segamat ini berkata politik retorik tanpa pelaksanaan semakin hilang nilai ketika era politik berteraskan kerja, keberhasilan dan penyelesaian sedang mengambil tempat.
“Pengundi hari ini semakin mengutamakan calon yang mempunyai orientasi perkhidmatan, mudah diakses, aktif membantu masyarakat serta mampu menjadi jambatan penyelesian antara rakyat dan kerajaan.
“Dalam PRN Johor ini, persoalan besar bukan lagi siapa paling lantang bercakap tetapi siapa paling mampu bekerja untuk rakyat,” katanya di Facebook.
Timbalan menteri perpaduan negara ini menulis demikian selepas mengunjungi bilik gerakan di DUN Pemanis, di mana beliau bertemu jentera PKR.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun, manakala hari pengundian pula pada 11 Julai selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan sebelum pembubaran, Barisan Nasional menguasai 40 kerusi diikuti PH 12, Perikatan Nasional tiga, manakala Muda satu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan