Agensi

POLIS mendedahkan Anon dengan sengaja menggunakan kereta miliknya untuk menyasarkan seorang penunggang motosikal yang melarikan diri. FOTO Agensi
Bangkok: Seorang lelaki berusia 32 tahun di Surin, Thailand, ditahan selepas dengan sengaja merempuh keretanya ke arah bekas teman wanitanya dan seorang orang awam yang cuba membantu wanita itu, menyebabkan kedua-duanya maut pada 8 Jun lalu, lapor MS News.
Pada awalnya ia disangka kemalangan bagaimanapun, polis mengesahkan insiden itu sebagai pembunuhan berganda yang dirancang selepas meneliti rakaman dalam kenderaan.
Polis mendedahkan bahawa suspek yang dikenali Anon, dengan sengaja menggunakan kereta miliknya untuk menyasarkan seorang penunggang motosikal yang melarikan diri.
Mangsa yang terbunuh adalah wanita berusia 32 tahun, Thidarat, dipercayai bekas teman wanitanya dan lelaki berusia 28 tahun, Natthanon, yang berhenti untuk membantu.
Menurut Khaosod pula, Anon sebelum itu sudah bersemuka dengan Thidarat di hotel tempat wanita itu bekerja sebagai juruwang.
Kedua-duanya kemudian meninggalkan lokasi itu dengan kereta berwarna hitam dengan Thidarat dilaporkan memandu.
Bagaimanapun, mereka yang berada dalam kenderaan sama itu bertengkar sebelum kejadian.
Thidarat kemudian keluar dari kereta apabila menyedari Anon membawa pisau.
Dalam pada itu, Natthanon, seorang pekerja di Pihak Berkuasa Elektrik Wilayah Surin, membenarkan Thidarat menaiki motosikalnya untuk melarikan diri.
Namun, dia kemudian dilanggar dengan sengaja oleh Anon.
Rakaman turut menunjukkan Anon mengejar mangsa yang melarikan diri dan memecut sehingga 140 kilometer sejam (km/j) sebelum melanggar motosikal berkenaan.
Menurut media tempatan, Thidarat maut di tempat kejadian, manakala Natthanon meninggal dunia di Hospital Surin akibat kecederaan.
Anon turut mengalami kecederaan dalam pelanggaran itu dan pada awalnya menerima rawatan di hospital.
Siasatan turut mengesahkan bahawa Anon dan Thidarat pernah menjalinkan hubungan sebelum ini, selain Thidarat pernah membuat laporan polis terhadap Anon pada 24 Mei berhubung serangan sebelum ini.
Susulan itu, polis percaya motif kejadian adalah cemburu dan tingkah laku obsesif dan Anon didapati tidak mabuk serta mempunyai sejarah tingkah laku ganas.
Pihak polis juga memaklumkan, Anon akan dipindahkan ke wad perubatan keselamatan di Penjara Wilayah Surin dan berdepan pertuduhan bunuh.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan