FMT Reporters
PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Johor memerintahkan ganti rugi RM517,643 kepada seorang budak perempuan yang mengalami kecederaan teruk pada mukanya akibat diserang anjing jiran, tujuh tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Noradura Hamzah mendapati pemilik anjing, nelayan Lim Seer Hao, 100% bertanggungjawab bagi serangan pada 27 Jun 2019 itu dan menolak tuntutan balasnya terhadap mangsa dan keluarganya.
Mahkamah memerintahkan ganti rugi am berjumlah RM193,000; RM300,000 untuk perbelanjaan perubatan di masa depan; dan ganti rugi khas sebanyak RM24,643.81. Mahkamah turut memerintahkan faedah 5% terhadap jumlah yang relevan selain kos RM120,000.
Mangsa berusia 10 tahun ketika diserang anjing itu di rumah Lim di Taman Permata, Endau, Johor. Dia sebelum itu bermain dengan jiran di luar rumah rakannya sebelum dijemput ke rumah Lim oleh anak defendan.
Menurut fakta kes, anak perempuan Lim membuka pintu pagar automatik dan membenarkan kumpulan kanak-kanak itu masuk ke pekarangan rumah.
Mangsa sedang bermain di halaman rumah apabila anjing bernama Chu yang dirantai di belakang rumah tiba-tiba terlepas dan menyerangnya. Lim ketika itu keluar menangkap ikan manakala iserinya Tiung Lai Choo tiada di rumah.
Anak lelaki Lim berjaya menghentikan serangan itu dengan membaling botol air terhadap anjingnya sementara jiran lain datang membantu.
Mangsa mengalami luka dalam di sebelah kanan mukanya termasuk satu luka dari dahi ke kelopak mata dan pipi sehingga menampakkan tulang.
Dia juga mengalami retakan terhadap tulang hidung dan sinus maksila kanan.
Mangsa menjalani pembedahan lapan jam di sebuah hospital swasta, tetapi lukanya mengalami jangkitan kuman dan memerlukan pembedahan lanjut. Doktor kemudian mengesan lumpuh fasial.
Dia kemudian menjalani beberapa prosedur perubatan termasuk graf kulit dan pembedahan rekonstruktif serta rawatan parut sehingga tahun lalu.
Lim bagaimanapun menafikan cuai dan mendakwa kanak-kanak itu memasuki pekarangan rumahnya tanpa kebenaran.
Katanya, anaknya memberi amaran dua kali kepada mangsa dan adik-adiknya supaya pulang, dan memaklumkan ada anjing di belakang rumah mereka.
Lim mendakwa mangsa tidak mengendahkan amaran berkenaan, bermain buaian sebelum mendekati Chu dan menyalak menyebabkan anjing itu marah sehingga berjaya melepaskan diri daripada tambatannya.
Noradura bagaimanapun menolak pembelaan Lim itu dan mendapati plaintif berjaya membuktikan tuntutan kecuaian atas dasar imbangan kebarangkalian.
Beliau turut menolak tuntutan balas Lim dan isterinya selepas Chu terpaksa dibunuh, selain dakwaan tekanan emosi dialami isterinya.
Lim sebelum ini mengaku salah di Mahkamah Majistret Mersing atas tuduhan di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan serta undang-undang kecil melibatkan lesen pemilikan anjing. Dia didenda RM1,000 dan RM500 bagi kesalahan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan