FMT Reporters
PETALING JAYA: Lelaki orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth kerana melakukan serangan seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan enam tahun, di sebuah masjid, awal bulan ini.
Khairul Asyraf Hashim, 35, membuat pengakuan itu hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Tertuduh didakwa melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap mangsa dengan menyentuh bahagian sulit mangsa bagi tujuan seksual di dalam Masjid Jamek Haji Abdul Latiff di Permatang Pasir, dekat Butterworth, sekitar 4 petang, 3 Sept.
Justeru, Khairul dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan tersebut serius serta mengambil kira mangsa yang masih kecil.
“Walaupun tertuduh tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa, dia sering berada di lokasi kejadian,” katanya menurut Berita Harian.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Naqieya Zulkernain, mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum.
Beliau memberi alasan anak guamnya mempunyai masalah pertuturan, tidak bekerja, dan bergantung kepada abang yang bekerja sendiri serta tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Risiko tertuduh melarikan diri adalah minimum kerana dia hadir ke mahkamah sendiri dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis.”
Mahkamah kemudian memerintahkan Khairul dihantar ke Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan, Perak untuk penilaian kesihatan mental, sebelum menetapkan 14 Okt ini bagi sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan