Farah Solhi
Jamil Khir Baharom didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan secara tidak jujur menyebabkan Lembaga Tabung Haji melupuskan wang berjumlah RM860,308,770.51 kepada sebuah syarikat berkaitan hartanah.
Mengikut kertas pertuduhan, Jamil Khir yang ketika itu merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), didakwa melakukan kesalahan itu secara tidak jujur di Putrajaya pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017.
Pertuduhan pertama melibatkan wang RM42,942,074 yang didakwa dilupuskan kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.
Pertuduhan kedua membabitkan RM288,172,134.64, yang didakwa dilupuskan kepada Al-Rawda Investment for Real Estate Development and Projects Management.
Pertuduhan ketiga pula melibatkan RM529,194,561.87 didakwa dilupuskan kepada syarikat sama.
Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, setiap pertuduhan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, sebatan serta denda.
Bekas pemimpin Umno itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi pagi ini.
Bergantung pada pencen
Timbalan pendakwa raya Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan mahkamah menetapkan ikat jamin RM1 juta bagi Jamil dan merampas pasportnya.
Bagaimanapun, peguam Jamil, Hisyam Teh Pok Teik memohon jumlah ikat jamin yang lebih rendah iaitu RM300,000, memandangkan anak guamnya hanya bergantung kepada pencen menteri dan pencen tentera.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM300,000 dan merampas pasportnya, serta menetapkan 5 Nov untuk pengurusan kes.
Hisyam memberitahu pemberita selepas prosiding bahawa pihak pendakwaan akan membekalkan dokumen kepada mereka pada tarikh berikutnya.
"Kami akan mengkaji dokumen itu secara teliti, tekun dan mengemukakan pembelaan yang kukuh."
Terdahulu, bekas anggota parlimen Jerai itu tiba di mahkamah pada 7.40 pagi dengan berpakaian kemeja putih dan bersut hitam.
Jamil Khir dilepaskan dengan jaminan pada 8 Sept, selepas menjalani tempoh reman tujuh hari bermula pada 2 Sept.
Sebelum ini, dia ditahan pada 4.30 petang, 2 Sept ketika hadir untuk memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung pendedahan Laporan RCI TH.
Laporan RCI itu didedahkan kepada umum pada 29 Julai, yang merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, serta menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.
Laporan itu turut menyebut wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
Individu keempat dituduh
Jamil merupakan individu keempat yang dituduh berhubung skandal Tabung Haji berikutan penerbitan laporan RCI itu.
Individu lain ialah bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas timbalan pengurus besar pembinaan THP Bina Sdn Bhd Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin dan bekas pegawai keselamatan dan kesihatan syarikat itu Nasahruddin Ahmad.
Bekas pegawai ketua operasi Tabung Haji Adi Azuan Abdul Ghani pada mulanya dijadualkan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 3 Sept. Bagaimanapun, prosidingnya dipindahkan ke tarikh 24hb kerana dimasukkan ke hospital.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan