"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan Selangor kesal kekerasan melampau polis

Muhammad Arif Ismail  

SHAH ALAM, 26 Mei (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor hari ini kesal dengan tindakan melampau pihak berkuasa polis terhadap mereka yang terlibat dalam perhimpunan aman.

Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan berkata, Kerajaan negeri kesal dengan sikap berterusan polis yang menggunakan kekerasan terlampau terhadap sebarang perhimpunan awam.

Katanya dalam satu kenyataan, ini berikutan penangkapan dan penahanan reman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai Jenice Lee dan 15 orang lain.

"Kami percaya tangkapan yang dibuat pada khamis lalu juga tidak sewajarnya berlaku kerana beliau dan rakannya berhimpun secara aman dan tidak langsung menimbulkan ketidaktenteraman rakyat," kata Menteri Besar.

Kerajaan Negeri juga katanya, amat kesal dengan perkembangan terkini yang melihat satu siri tangkapan keatas orang awam, aktivis kebebasan hak asasi dan ahli politik.

"Mengikut data yang dikumpulkan oleh SUARAM dalam bulan Mei sahaja sebanyak 146 siri tangkapan telah dibuat, kebanyakkan keatas individu yang terlibat dalam perhimpunan aman.

"Lebih buruk lagi, pihak polis telah menyerbu ibu pejabat DAP, di Petaling Jaya.

"Jelas, ini adalah perkembangan yang tidak sihat untuk negara yang mengamalkan sistem demokrasi," tegas beliau.

Katanya, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mengutuk man-mana pihak yang cuba mencabul had kebebasan bersuara dan hak kebebasan untuk berkumpul secara aman.

"Hak asasi ini telah termaktub dalam Deklarasi Hak-hak Asasi Sedunia dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

"Kami juga menyeru kepada pihak polis supaya menghormati dan mempertahankan hak-hak ini," tegasnya.

Tiada ulasan: