"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Himpunan ISA 1 Ogos: Pertembungan dua idea

KUALA LUMPUR, 23 Julai: Setiap orang mempunyai hak untuk berhimpun dan bercakap, demikian ujar Pengurus Kempen Himpunan Mansuhkan ISA (Mansuh), Nalini Elumalai.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertembungan yang bakal terjadi pada 1 Ogos depan antara himpunan anjuran Mansuh dan Pewaris.

Mansuh berhimpun untuk menyerahkan memorandum kepada Istana Negara dalam usaha memansuhkan ISA sedangkan Pewaris pula berbuat demikian dalam usaha menyokong akta
tersebut.

Nalini menyifatkan dua himpunan yang mengadakannya pada masa sama sebagai pertembungan dua idea berbeza dan mereka berhak untuk berhimpun dan menyuarakan
pandangan.

“Saya anggap ini adalah pertemuan antara dua idea yang berbeza. Kita akan melihat sendiri idea yang lemah dan tidak berpihak kepada majoriti rakyat akan gugur secara sendiri,” tegasnya dengan yakin.

Ditanya tentang tahap kesedaran rakyat, Nalini menambah, jika dari segi hak asasi secara umum, ada berlaku perkembangan namun banyak yang masih perlu dilakukan dalam
usaha sedarkan rakyat tentang hak mereka.

“Dari segi ISA, banyak perubahan. Kalau dulu tahun 1987 semasa operasi lalang, hanya segelintir sahaja yang bercakap dan perjuangkan untuk memansuhkannya, tapi sekarang
ini banyak perubahan dari segi pemikiran rakyat terhadap ISA.

“Ramai rakyat tidak menyokong ISA lagi. itu adalah kebenarannya. ini boleh dapat dilihat dalam pilihan raya yang lepas,” tambahnya lagi.

Beliau berharap kebenaran dapat diterjemahkan dengan kumpulan Mansuh akan menjadi lebih ramai pada 1 Ogos nanti.

“Harapan saya kini rakyat Malaysia sudah berubah dan mereka tidak boleh ditipu lagi. Saya sentiasa percaya kepada rakyat dalam hal ini. Mereka tidak akan membenarkan diri mereka ditipu sekali lagi,” ujarnya.

Tiada ulasan: