"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mokhtar bebas dari tuduhan bunuh setiausaha di Giant, Batu Caves

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pemandu teksi atas tudduhan membunuh dengan menembak seorang setiausaha, Siti Shamiza Ab Karim, di Pasar Raya Giant di sini, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Zaharah Ibrahim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mokhtar Mohd Zin, 47, pada akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Zaharah berkata terdapat beberapa keraguan dalam kes itu termasuk pengecaman tertuduh, kaitan sebuah kereta dengan peluru yang ditemui dan tiada pistol yang dijadikan bahan bukti.

"Mahkamah mendapati lima saksi yang memberi keterangan melihat tertuduh adalah dalam keadaan sekali lalu sahaja. Tiga saksi (daripada lima saksi) tidak melihat tertuduh dalam keadaan tenang dan seorang daripadanya melihat dalam keadaan tertuduh berpaling dan ketika dirempuh.

"Manakala seorang lagi melihat tertuduh dari belakang. Salah seorang daripada mereka melihat tertuduh ketika diacukan pistol kepadanya. Selepas teliti semua keterangan adalah tidak selamat untuk saya terima pengecaman keempat-empat saksi.

"Seorang lagi saksi (kelima) mendakwa dia melihat tertuduh di televisyen. Saya khuatir gambar tertuduh telah dipaparkan dalam media dulu, 10 hari selepas kejadian dan sebelum kawad pengecaman," katanya.

Selain itu, terdapat kemusykilan terhadap perbandingan antara peluru yang ditembak pada mangsa dengan peluru yang dijumpai dalam sebuah kereta tetapi tiada penjelasan diberi bila peluru ditemui dalam kereta berkenaan dan kaitannya.

"Timbul keraguan bagaimana peluru itu dikaitkan dengan pistol yang tidak pernah ditemui. Oleh itu pendakwa gagal buktikan kes prima facie dan tertuduh dilepas dan dibebaskan dari tuduhan tanpa dipanggil bela diri," katanya.

Terdahulu Zaharah berkata pegawai penyiasat yang menyatakan telah menemui satu telefon bimbit di sebelah mangsa hanya mengetahui ia (telefon bimbit) milik tertuduh melalui maklumat dari orang lain dan tiada telefon bimbit yang dikemukakan serta tiada saksi yang menunjukkan ia telefon bimbit tertuduh.

Mokhtar dituduh menembak mati Siti Shamiza, setiausaha syarikat Bumi Highway, 30, ketika rompakan di tempat letak kereta di Pasar Raya Giant, Batu Caves, jam 1.45 petang, 19 Mac 2005.

Mokhtar yang berada di kandang saksi kelihatan tenang apabila mendengar keputusan hakim dan ketika ditanya pemberita apa perasaannya, dia berkata: "Tidak boleh cerita perasaan saya sekarang, alhamdullillah saya berserah kepada takdir."

Ahli keluarganya yang turut hadir kelihatan gembira bagaimanapun Mokhtar masih lagi digari untuk dibawa ke penjara kerana mempunyai dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Dia menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh Ong Wooi Chong dan tuduhan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana menggunakan pistol untuk merompak kereta Perodua Kancil milik seorang setiausaha Nor Haslinda Abdul Hamid.

Sepanjang perbicaraan kes bunuh itu, seramai 13 saksi pendakwaan memberi keterangan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hidayatul Shuhaida Shamsudin manakala Mokhtar diwakili peguam Surjan Singh.

-BERNAMA-

Tiada ulasan: