Oleh Afrar Yunus
Sebut sahaja wakil rakyat maka terbayang kepada kita tentang tugas murni yang sepatutnya dimainkan oleh wakil penduduk di sesuatu kawasan yang dipilih dalam sesuatu pilihanraya.Suara mereka dikira sinonim dengan suara rakyat. Wakil rakyat ini mewakili kerusi Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat.Dasar Negara akan ditentukan melalui penggubalan undang-undang yang merupakan satu dari tugas rasmi mereka.
Mereka sepatutnya dihormati oleh kerajaan, pihak polis dan agensi-agensi kerajaan yang lain. Lebih-lebih lagi di dalam negara seperti Malaysia yang meuar-uar mengamalkan demokrasi.
Adakalanya mereka terpaksa menyuarakan hasrat dan cita-cita rakyat dijalanan dengan cara aman. Wakil rakyat ini tidak seharusnya dilihat seperti musuh atau pengganas.
Saya berasa kesal yang amat sangat apabila melihat tindakan polis Malaysia mengambil undang-undang negara di dalam tangan sendiri dengan bertindak memprovokasi dan bertindak ganas dalam pelbagai bentuk - menangkap, memukul, mencedera, mengheret dan menghumban wakil rakyat ke dalam lokap.
Banyak sudah kejadian sebegitu. Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Tian Chua, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Hatta Ramli, Gopala Krishnan dan ramai lagi diperlakukan sedemikian.
Terbaru apabila ADUN Perak dihina . Senjata dibawa masuk ke DUN tersebut. Speakernya diangkut seperti guni beras.
Paling terbaru berlaku di Selangor. ADUN Rawang Gan Pei Nei mendakwa dipukul oleh Polis. Bukan sahaja beliau malah Elizabeth Wong , Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Kapar, Manikavasagam dikasari.
Apakah makna atau definisi wakil rakyat dalam kamus UMNO dan Barisan Nasional ?
Najib Razak perlu menyelami perkara ini. Jika wakil yang berkhidmat ini dijadikan seperti budak-budak, diangkut seperti guni cempedak busuk, tidak menghormati mereka, memaki hamun , memukul dan menendang suara rakyat ini, dimana kewibawaan Malaysia dan Parlimennya ?
Apa akan berlaku jika konflik yang sama dilalui oleh wakil rakyat UMNO dan BN ?
Najib perlu membuat satu keputusan segera agar apa-apa suara rakyat yang berkumandang di mana-mana pentas selagi ianya secara aman, polis hendaklah diharamkan menyentuh wakil yang berkhidmat ini apatah lagi menggunakan kekerasan terhadap mereka.
Evolusi politik ini hendaklah kelihatan dilaksanakan dengan seadil-adilnya.
Pemerintahan secara tekanan atau paksaan tidak pernah bertahan lama di dalam mana-mana negara pun. Berikan ruang kepada Yang Berkhidmat untuk berperanan secara liberal.
-detikdaily.net-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan