"Kunci persoalan bagaimana Teoh meninggal dunia mesti juga disiasat (oleh suruhanjaya diraja) dan dijawab.
"Persoalan ini tidak boleh diasingkan daripada isu umum tentang bagaimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) mengendalikan siasatan.
"Tidak perlu untuk inkues ini diteruskan. Suruhanjaya diraja patut menyiasat keadaan kematiannya. Kami juga mempunyai keraguan yang serius terhadap keberkesanan inkues tersebut," kata Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah.
Beliau, yang juga seorang peguam, membacakan kenyataan bersama mereka dengan ahli jawatankuasa PAS Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha DAP Selangor, Lau Weng San dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Menurut mereka, inkues yang pernah dijalankan sebelum ini membuktikan bahawa majistret terikat dengan bukti yang dikemukakan oleh saksi-saksi polis yang menyiasat kes kematian tersebut.
Sivarasa menambah, majistret yang bakal mengendalikan inkues tersebut turut terikat dengan timbalan pendakwa raya dan Jabatan Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
"Pakatan Rakyat oleh itu menuntut bidang kuasa suruhanjaya diraja diperluaskan untuk untuk merangkumi kes kematian Teoh. Jika tidak, persoalan terpenting tentang kematiannya tidak akan menawarkan jawapan yang memuaskan orang ramai," katanya.
Sivarasa turut mempertikaikan siasatan polis dalam kes kematian Teoh kerana, menurutnya, banyak soalan yang tidak relevan diajukan kepada saksi, antaranya sama ada "mendiang seorang perokok".
Katanya, beliau difahamkan, polis turut menyoal sama ada saksi berasa ganjil terhadap perlakuan Teoh sebelum ia meninggal dunia dan kenapa Teoh dibawa ke SPRM.
Sementara itu, Dr Dzulkefly pula berkata, siasatan dua badan berbeza terhadap kes itu akan memungkinkan dapatan yang berbeza.
"Jika ini berlaku, ini menjadi krisis yang lebih parah," katanya, yang juga ahli parlimen Kuala Selangor.
Beliau juga menyifatkan penubuhan pelbagai badan bagi menyiasat kes tersebut sebagai "membazirkan wang wakyat."
Lau pula menuntut pemimpin parti komponen lain dalam BN yang sebelum ini turut mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja itu agar menunjukkan "pendirian yang lebih jelas" selepas kabinet membuat keputusan semalam.
"Kita tidak dapat lihat pendirian mereka. Kita minta mereka bertanggungjawab terhadap apa yang mereka suarakan sebelum ini," katanya.
Ketiga-tiga pemimpin Pakatan itu bagaimanapun belum membincangkan nama yang akan dicadangkan bagi mengepalai suruhanjaya diraja tersebut walaupun DAP Pulau Pinang sebelum ini mencadangkan nama naib pengerusinya Tunku Abdul Aziz Ibrahim.
"Soal bidang kuasa suruhanjaya diraja ini yang mesti kita selesaikan dahulu," kata Sivarasa.
-malaysiakini.com-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan