Abdul Aziz Mustafa | |
KUALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan adakah suruhanjaya penyiasatan bagi menyiasat kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1999 lalu mematuhi undang-undang negara. "Abdul Gani menekankan bahawa "kita mesti mematuhi undang-undang negara" ketika memberikan kenyataan berkenaan inkuiri berhubung kematian Teoh Beng Hock mengikut Kanun Acara Jenayah Beliau juga menyatakan bahawa Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 jelas merujuk kepada siasatan terhadap tatalaku dan pengurusan pegawai-pegawai dan jabatan-jabatan kerajaan atau bagi kebajikan awam. "Bagaimanapun, bidang tugas suruhanjaya penyiasatan bagi menyiasat kecederaan yang dialami oleh Anwar dahulu dengan jelas menyatakan tujuannya adalah untuk menyiasat dan mengkaji kecederaan ke atas Anwar yang dialaminya semasa dalam tahanan polis dengan tujuan menentukan sebab kecederaan itu berlaku dan mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab serta bersubahat menyebabkan kecederaan tersebut," katanya. Beliau mempersoalkan, jika suruhanjaya menyiasat kecederaan Anwar dahulu boleh menyiasat sebab kecederaan itu berlaku, mengapa pula sekarang tidak boleh ditubuhkan suruhanjaya menyiasat bila, di mana, dan bagaimana Teoh mati dan juga sama ada mana-mana orang terlibat secara jenayah yang menyebabkan kematian itu? "Jika sekarang tidak boleh menyiasat punca kematian Teoh, tentulah dahulu juga tidak boleh menyiasat sebab berlakunya kecederaan Anwar. Mengapa ada percanggahan? "Adakah Peguam Negara bersetuju bahawa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor boleh mendakwa suruhanjaya yang menyiasat kecederaan Anwar itu tidak "mematuhi undang-undang negara" dan beliau boleh mencabar keabsahan penubuhan serta keputusan suruhanjaya itu?" soal Mahfuz. Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mempersoalkan mengapa kerajaan takut hendak memberi kuasa kepada suruhanjaya yang ditubuhkan itu untuk menyiasat punca kematian Teoh? "Kenapa takut hendak memberi hak kepada suruhanjaya di raja menyiasat punca kematian Teoh? "Semakin ramai yang menuduh kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu serta melindungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuh Malaysia (SPRM) berdasarkan skrip yang diilhamkan oleh golongan tidak waras yang sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu puak mereka melakukan kezaliman. "Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula tidak kelihatan berkemampuan menyangkal tuduhan itu," katanya. Mahfuz berkata, tindak-tanduk Abdul Gani selama ini yang sering memutuskan sesuatu siasatan itu tidak ada kes menimbulkan lebih banyak keraguan terhadap inkuiri yang ditubuhkan itu. Antara lain, Abdul Gani sebelum ini menyatakan tidak ada kes dalam dakwaan rasuah ke atas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Musa ketika itu didakwa menerima sogokan sebanyak RM2.1 juta sebagai habuan bagi melepaskan kumpulan gangster. "Kita juga merasa amat bimbang kerana inkuiri hanya dikendalikan oleh seorang majistret sedangkan majistret pula berada di bawah Jabatan Peguam negara. "Kalau sebelum ini hakim mahkamah tinggi seperti Datuk Muhammad Kamil Awang boleh mendedahkan beliau diarah menerusi telefon agar petisyen pilihan raya Likas ditolak tanpa perbicaraan, apa jaminan seorang majistret tidak boleh diarah untuk melakukan perkara-perkara yang pelik?" soal beliau. Jabatan Peguam Negara pula pernah mengemukakan pertuduhan yang dipertikaikan dalam kes Anwar dahulu di mana tarikh diubah dan tempat yang belum wujud didakwa sebagai tempat berlakunya perbuatan jenayah, katanya. Sebab itulah, kata Mahfuz, siasatan yang dianggap berwibawa ke atas punca kematian Teoh hanya boleh dijalankan oleh suruhanjaya di raja. "Wang rakyat tidak sepatutnya dibazirkan untuk menubuhkan badan siasatan yang tidak dipercayai oleh majoriti rakyat," katanya lagi. |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Kes Teoh: Mahfuz persoal percanggahan kenyataan Abdul Gani
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan