Abdul Aziz Mustafa | |
KUALA LUMPUR, 22 Julai (Hrkh) - Peguam keluarga Teoh Beng Hock yang terbunuh ketika masih berada dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Lim Lip Heng dilaporkan oleh Malaysiakini sebagai mendakwa pihak polis mahu "melepaskan para pegawai SPRM dari sebarang beban" ekoran kejadian itu. Menurut Lim yang juga Ahli Parlimen Segambut, dalam siasatan ke atas tunang dan ahli keluarga Teoh, pihak polis ingin tahu adakah mendiang berada dalam keadaan tertekan, melakukan tindakan-tindakan yang boleh membunuh dirinya atau menghadapi masalah kewangan. "Tetapi keluarga (Teoh) menafikan semua itu. Teoh ceria dan tidak ada masalah di tempat kerja. Teoh tidak ada masalah kewangan, bergaul dengan baik dengan setiap orang dan dalam persiapan untuk perkahwinannya," kata beliau. Teoh adalah setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah. Lim juga memberitahu, pihak polis juga mengemukakan "soalan yang menarik" kepada tunang Teoh, Soh Sher Wei iaitu sama ada Teoh menukar kasutnya setiap hari. Ia berkaitan dengan pendedahan pegawai penyiasat bahawa kasut Teoh kelihatan terkoyak-koyak ketika mayatnya ditemui. "Mereka bertanya adakah Teoh mempunyai banyak pasang kasut dan kasut saiz apa yang dipakainya... tunang Teoh memberitahu bahawa Teoh mempunyai beberapa pasang kasut dan beliau jarang menukar kasutnya melainkan rosak tetapi pada hari yang malang itu beliau memakai kasut baru," kata Lim. Seorang lagi peguam, Eric Tan Pok Shyong mendakwa, kebanyakan soalan polis difokuskan kepada kemungkinan Teoh tidak terbunuh akibat tindakan pegawai-pegawai SPRM. "Contohnya, mereka bertanya tentang karakter Teoh, pernahkah beliau merungut tentang kerjanya sebelum mati, dan cuba mengaitkan dengan kerjanya dan kemungkinan beliau membunuh diri akibat tekanan tersebut," kata beliau. "Mereka juga bertanya adakah Teoh menghisap rokok. Saya meneka satu-satunya sebab mereka bertanya soalan tersebut adalah untuk cuba menyimpulkan bahawa beliau mungkin terjatuh dari tingkap ketika menghisap rokok di situ," katanya. Bagaimanapun, kelurga Teoh menolak kemungkinan beliau membunuh diri. "Dan juga, Teoh bukan seorang perokok," katanya. Isnin lalu, ketika menjawab soalan tentang kemungkinan Teoh jatuh dari Tingkat 14, yang menempatkan pejabat SPRM itu, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata: "Kemungkinan besar." Ditanya mengenai barang-barang yang diambil dari pejabat SPRM, Khalid berkata, polis melihat semula tempat kejadian dan apa yang tertinggal pada hari pertama kejadian. Ahad lalu, polis mengambil beberapa dokumen dan selak tingkap di Tingkat 14 bagi membantu siasatan kematian Teoh yang menimbulkan pelbagai pertanyaan. Dalam sidang media bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan di ibu pejabat polis negeri di Shah Alam hari ini, Khalid berkata, rakaman CCTV menunjukkan Teoh memasuki bangunan tersebut jam 5.15 petang Rabu. Bagaimanapun tiada rekod Teoh keluar keesokannya selepas dilaporkan selesai siasatan jam 3.45 pagi Khamis. Khalid juga berkata, polis sudah mendapat telefon bimbit Teoh daripada seorang pegawai penyiasat SPRM. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berkenaan rekod telefon tersebut kerana masih dalam siasatan polis. |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Kes Teoh: Polis didakwa mahu "melepaskan" SPRM
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan