"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akhirnya Dapat Juga Geran Tanah

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU (Hrkh) - Penantian sejak lebih 20 tahun seramai 116 peneroka di ladang Felcra di Bukit Jelutong, Gua Musang untuk memiliki hak milik tanah sendiri bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Mereka bakal mendapat geran hak milik seluas 2.4 hektar bagi setiap lot. Jumlah keseluruhan yang dipertimbangkan kerajaan negeri seluas 298 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Dato' Husam Musa berkata, ladang Felca di Bukit Jelutong, Gua Musang yang asal diterokai penduduk telah diserahkan kepada kerajaan negeri kerana agensi kerajaan terbabit gagal memajukannya.

Katanya, kebanyakan peneroka telah membayar deposit sejak 1985 dan hari ini kerajaan negeri telah mengesahkan kelulusan kepada 116 peneroka terbabit.

"Sebahagian ladang itu diusahakan dengan tanaman kelapa sawit dan getah. Dan sebahagian lagi telah dimusnah hidupan liar," ujarnya di sini.

Oleh itu beliau berkata, peneroka berkenaan perlu menjelaskan premium tanah sebanyak RM3,000 bagi setiap lot untuk membolehkan kerajaan memproses geran hak milik.

Menurutnya juga sebelum ini Felcra yang bertanggungjawab membangunkan ladang tersebut setelah membuat perjanjian dengan peneroka.

"Namun tahun lepas Felcra telah menyerahkan kepada kerajaan negeri ladang berkenaan. Dan setelah diserah balik, kerajaan negeri mengambil keputusan menyerahkan semula tanah kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil tindakan sedemikian bersesuaian dengan konsep memberikan hak milik kepada mereka yang telah mengusahakan tanah secara sah.

Husam juga berkata, beliau telah berjumpa dengan beberapa wakil penduduk di situ untuk mengesahkan senarai peneroka yang terlibat.

Sehingga kini Felcra telah menyerahkan ladang yang dimajukan kepada kerajaan negeri antaranya di Perabong 1 dan Perabong 3, Bukit Tandak dan Gual Dalam.

Tiada ulasan: