"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti Kedah sifatkan cara penahanan Dr Asri tidak sesuai

Mohd Sabri Said
PERMATANG PAUH, 22 Nov:
Mufti Kerajaan Negeri Kedah, Sheikh Haji Badarudin Haji Ahmad menyifatkan cara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangkap bekas Mufti Negeri Perlis, Dr Asri Zainol Abidin adalah tidak sesuai, seolah-olah menangkap seorang penjenayah dengan kehadiran puluhan pasukan polis dan penguatkuasa.

Sheikh Badarudin berkata, seharusnya sebelum tangkapan itu dilakukan, pihak JAIS harus mengadakan pertemuan tertutup dengan Asri terlebih dahulu jika benar ada yang tidak kena dengan cara penyampaiannya dalam siri kuliah agamanya.

"Jika boleh biar ada unsur nasihat demi nasihat atau pertemuan tertutup dengan Dr Asri dulu tentang penyampaiannya yang dianggap boleh memecah belahkan perpaduan masyarakat Islam sebelum tindakan susulan dibuat termasuk tangkapan jika beliau terus berkeras tidak mahu mendapatkan tauliah di negeri itu," katanya dalam satu forum anjuran Kerajaan Negeri, Jabatan Mufti Pulau Pinang dan Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) di Yayasan An-Nadhoh, Bukit Indera Muda semalam.

Jika Asri berkeras tidak mahu mendapatkan tauliah di Selangor ujarnya, barulah tangkapan boleh dibuat.

"Beliau wajar menerima hakikat bahawa sesebuah negeri ada polisinya dan beliau mesti ikut kerana tauliah penting dalam penyampaian ilmu berikutan terdapat pengamal ilmu jauh terpesongdari Islam sebenar, " ujarnya.

Turut menjadi ahli panel pada majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Dr Mansor Othman itu ialah Pengetua Yayasan An-Nadhoh, Ustaz Mutalib Maarof dan Peguam Syarie, Kamal Aniah Kamalruzaman yang juga mewakili Asri dalam perbicaraan kes ini.

Hadir sama ialah Exco Agama Islam Pulau Pinang, Haji Abdul Malek Abul Kasim, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JAIPP), Haji Sazali Husin, Pegawai Jabatan Mufti Pulau Pinang, Mohd Hanif Omar dan Presiden TERAS, Haji Azmi Abdul Hamid.

1 November lalu, Asri ditahan JAIS kerana dipercayai mengajar ilmu agama tanpa tauliah kepada lebih seratus pengikut di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Berikutan penangkapan itu, Asri didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur 18 November lalu.

Kes ini akan dibicarakan semula pada 5 Januari tahun hadapan di mahkamah yang sama setelah hakim menolak permohonan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam.

Tiada ulasan: