"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

"Saya Nak Keluar Makan-makan... Saya Tak Perlu Nafi Benda Yang Tak Wujud" - HUSAM MUSA

PETALING JAYA: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa menyifatkan laporan muka depan sebuah akhbar mingguan hari ini mengenai khabar angin yang beliau berhasrat meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan sebagai satu 'gurauan' media.

Malah Husam berkata, tidak ada apa yang perlu beliau nafikan mengenai laporan tersebut kerana isu itu langsung tidak berbangkit.

"Bagaimana saya nak nafi atau nak sangkal, sedangkan ia tidak wujud.

"Kalau benda (isu) itu ada bolehlah saya nafi, ini tak ada... jadi tak boleh nak nafilah," katanya kepada mStar Online hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini dalam laporan muka depannya menyebut, Husam mahu melepaskan semua jawatannya dalam parti dan kerajaan negeri tetapi keputusannya tidak dipersetujui oleh Mursyidul Am PAS,yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut laporan itu lagi, Nik Aziz sebaliknya dikatakan memberi cuti selama lima hari kepada Husam untuk berehat dan menenangkan fikiran.

Isu mengenai hasrat Husam untuk meletakkan jawatan itu dikaitkan dengan pergolakan yang berlaku di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang menyaksikan pemecatan pegawai perhubungan korporatnya, Syed Azidi yang lebih dikenali sebagai bloger kickdefella selepas berlaku dakwaan dan tuduh menuduh berhubung penyalahgunaan kuasa menantu Nik Aziz yang juga ketua pegawai operasi PMBK, Abdul Ariffahmi Rahman.

Dakwaan itu telah mendorong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan ke atas PMBK. Dan Husam dikatakan tidak berpuashati dengan pemecatan Syed Azidi.

Sumber akhbar berkenaan juga menyebut dalam tempoh cuti tersebut, Husam akan menjalani pembedahan tulang belakang yang ditangguhkan sejak dua bulan lalu.

Mengulas mengenai perkara itu, Husam berkata: "Cuti? Cuti apa pula? Saya tak tahu apa-apa pun, nampaknya sumber akhbar berkenaan lebih tahu daripada saya.

"Mengapa pula nak bedah tulang belakang saya? Bukannya ada bengkok... Alhamdulillah saya sihat saja."

Jelas Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan itu lagi, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai arahan cuti oleh Nik Abdul Aziz seperti yang dilaporkan itu.

"Saya tak tahu, hari ini kalau tak silap Tok Guru (Nik Abdul Aziz) ada majlis, kamu pergi tanya beliau sendiri... kalau tak dapat, pergi tanya pihak akhbar berkenaan.

"Buat masa ini saya tak bercuti, saya akan bertugas macam biasa, saya sihat," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak akhbar berkenaan kerana menyiarkan laporan seumpama itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata: "Tengoklah nanti macam mana, hari ini hari Ahad, saya nak berehat... keluar makan-makan dulu."

-mstar.com-

Tiada ulasan: