"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kita tidak boleh lagi (sekadar) menjadi pemerhati dan pengulas

Tulang Bukan Besi

Mungkin ramai dalam kalangan jemaah yang tidak sedar bahawa kita memilih untuk sekadar menjadi pemerhati dan pengulas. Biasanya, kita sangat selesa menonton di luar garisan daripada terjun mengambil bahagian. Kekadang kita menjadi pakar bidang tanpa tauliah, sangat cepat mengulas segala kemelut@persoalan yang membusung di sekeliling kita. Dan selalunya kita cukup puas kerana ‘kearifan’ yang kita miliki.

Jika ditanya apakah yang sepatutnya dilakukan untuk perbaiki kemelut, kita pantas sekali berhujah dengan ungkapan-ungkapan ‘klasik’ seperti: “Kerajaan sepatutnya buat itu dan buat ini’

Atau “Perkara ini sepatutnya dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan yang memerintah sekarang”. Sungguh hebat, bukan?

Masanya sudah sampai untuk jemaah berhenti menjadi pemerhati dan pengulas bebas semata-mata. Kita perlu bersama-sama bertindak sebagai satu jemaah. Kita mesti lakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan, - percayalah sesungguhnya kita berupaya melakukannya, jika kita mahu. Kita boleh mulakan dengan yang aspek@perkara yang paling senang sebelum kita mencuba sesuatu yang lebih sukar@rumit dilakukan. Paling utama kita mestilah beramal. Tak tahu apakah yang boleh kita sumbangkan?

Berikut adalah senarai contoh untuk tindakan kita. Ada yang mudah sekali dilaksanakan, namun terdapat juga perkara-perkara tidak begitu mudah untuk kita praktikkan(?):

i) Kita hendaklah beratur apabila kita perlu beratur. Semua orang memerlukan perkhidmatan yang sama di tempat yang sama, lalu kenapakah kita juga mesti berebut-rebut? Apakah kita tidak dapat menjadikan diri kita sebagai contoh? Kita beratur walaupun ramai yang tidak beratur.

ii) Kita berhenti membuang sampah merata-rata. Kita sentiasa memasukkan sampah ke dalam saku sekiranya tidak ada tong sampah yang berdekatan

iii) Kita menegur, dengan baik jika ada orang yang memotong barisan.

iv) Kita berhenti mengharapkan YB kawasan kita memasukkan anak kita ke jawatan kosong di Majlis Daerah.

v) Kita berhenti berfikir bahawa ‘kejahatan seseorang manusia terhadap kita’ ialah kerana orang itu berbangsa A. Premis hujah kita: Bangsa A memang terkenal kejahatannya. Percayalah, manusia tanpa mengira bangsa, agama, warna kulit maupun jantina akan menjadi manusia yang baik jika ia berbudaya.

Bangsa yang tinggi budayanya tidak semestinya orang-orang Islam. Kenapa? Ramai dalam kalangan kita, telah lama berhenti menjadi pengamal Islam sejati. Atau apakah tidak mungkin, kita sendiri tidak pernah pun terfikir untuk menjadi penganut Islam yang sejati dalam segala aspek amalan hidup kita? Ertinya kita masih dari kumpulan jahiliah. ‘Kita’ di sini bermakna ‘saya dan juga saudara’. Saya jahiliah dan saudara juga ..... Kita masih jahiliah kerana gagal menjadikan diri kita contoh untuk dicontohi.

Wallahuaklam.

Tiada ulasan: