"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan perpaduan, pintu PAS sudah terkunci

Subky Abdul Latif
Seminar memperkasa PAS pada 7 November, 2009 secara rasmi menutup pintu percakapan PAS tentang kerajaan perpaduan Umno dan semua parti politik. Pintu itu dikunci dan anak kuncinya dibuang ke laut supaya pintu itu tidak dapat dibuka semula.

Tetapi mendakwa, pintunya tidak akan ditutup. Ia dibiarkan terbuka supaya sebelum nanti dapat juga Umno dan PAS menjalin perpaduan dua parti politik Melayu itu.

Serentak Umno semua peringkat dari atas ke bawah menyatakan pilunya dan menangisi atas penolakan PAS bercakap mengenainya lagi.

Sedih dan tangis Umno itu adalah seperti tangisan buaya lapar kerana potensi rezekinya iaitu PAS sempat lari dari ditelannya hidup-hidup.

Apa yang dikatakan keterbukaan Umno itu adalah suatu politik yang diolah seperti satu diplomasi bagi menyatukan orang Melayu dan Muslim yang dikatakan amat berpecah dan merugikan orang Melayu.

Bunyinya amat baik dan mulia. Tetapi al-Quran mengingatkan orang beriman, apabila datang berita daripada orang fasik, hendaklah ia betul-betul diamati. Ingatan itu adalah bagi menyelamatkan orang beriman daripada menjadi mangsa pembawa berita itu.

Bila Umno dalam sejarahnya memandang tinggi kepada PAS?

Pertama selepas 13 Mei, 1969. Tun Abdul Razak Hussein yang merampas kuasa daripada Tunku Abdul Rahman mengirim Datuk Hamzah Abu Samah mengambil Datuk Asri Muda dengan helikopter di Kota Bharu, membawanya berunding tentang perpaduan.

Perpaduan pemimpin PAS-Umno seolah-olah tercapai apabila terbentuk kerajaan campuran Perikatan-PAS tahun 1973 dan Barisan Nasional menggantikan Perikatan bagi memungkinkan PAS mengganggotainya.

Dalam kerajaan campuran itu PAS dibagi satu menteri. Dalam kerajaan BN PAS dapat dua menteri dan beberapa timbalan menteri. Beberapa orang Umno jadi exco di Kelantan yang dikuasai PAS sejak tahun 1959.

Dalam kerajaan BN yang pertama di Kelantan tahun 1974, Umno mahu menteri besarnya orang PAS yang dicadangkan oleh Umno, bukan PAS yang dicadangkan oleh PAS.

Sekalipun PAS sudah bersama Umno, tetapi orang Melayu akar umbi tidak bulat merestuinya. Dalam pilihan raya umum 1974, PAS tidak bertanding atas nama partinya. Berapa pemimpinnya jadi calon BN. Tiada berapa calon PAS dicalonkan bagi kerusi Parlimen di luar Kelantan.

Tetapi calon bebas di Parit Buntar, Ustaz Zulkurnain Ahmad dapat undi sebesar yang calon PAS dapat sebelumnya. Partai Rakyat yang sentiasa hilang wang pertaruhan sebelumnya, meletakkan Kassim Ahmad bertandng di Kemaman. Walaupun dia kalah tetapi dia dapat lebih banyak undi dari yang PAS dapat sebelumnya.

Ia adalah contoh pemimpin bermuafakat tetapi rakyat akar umbi tidak.

Tetapi apa yang dikatakan perpaduan Umno-PAS itu telah dilihat sebagai satu helah bagi Umno untuk menelan PAS. Melalui projek kerajaan campuran dan pembentukan BN, adalah kerajaan perpaduan masa itu, membuka jalan bagi Umno untuk mengkeroyok PAS. Kalau Umno ibarat kucing, PAS dijadikan seperti tikus, dikepung, dilambung hingga lembik baru dimakan.

PAS diperdaya, ditendang dari BN, Kelantan diMageran, dan barulah PAS dapat dikalahkannya dalam pilihan raya 1978.

Kali kedua Umno merasa perlu PAS dibuat baik ialah selepas tsunami politik Mac, 2008 apabila ia hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan tidak dapat membentuk kerajaan di Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Umno menawarkan Datuk Hassan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor menjadi menteri besar Selangor dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin boleh jadi menteri besar dalam muafakat PAS-Umno di Perak. Dalam apa keadaan pun Ustaz Azizan Abdul Razak tetap memimpin Kedah..

Syaratnya PAS mesti terajang PKR dan DAP. Kiranya PAS kemaruk, belum sempat PAS terajang PKR, PAS akan PKR terajang dulu.

Jika PAS setuju saja dengan tawaran Umno itu, maka jadilah menteri besar PAS di Perak dan Selangor itu seperti Datuk Mohd Nasir yang menjadi menteri besar Kelantan dalam Barisan Nasional dulu. Dan Azizan yang jadi menteri besar kedah itu pun jadi macam itu juga.

Dan berapa orangkah PAS yang menjadi menteri dalam kerajaan perpaduan itu? Tentunya tidak sampai separuh dari menteri Umno.Walaupun ia beri PAS jadi menteri besar di Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan tetapi ia tidak akan setuju PAS jadi timbalan perdana menteri dan sama banyak menterinya dengan PAS.

Masa itu penyokong PAS berpecah dan PKR akan mengambil pengaruh yang meninggalkan PAS. Masa itu jugalah Umno menelan PAS.

Apabila PKR dan DAP sudah tidak lagi mempercayai PAS, maka pergantungan PAS hanya kepada belas ihsan Umno. Keutamaan Umno ketika itu adalah kepentingan dan keselamatan Umno. Bukan tanggungjawabnya untuk menyelamatkan PAS. Dan PAS hanya diperlukan bagi menyematkan kuasa dan kepentingannya.

Sesudah kuasanya terjamin maka masa depan menteri besar PAS di negeri-negeri yang dipengaruhinya itu akan ditentukannya tanpa menunggu apa PAS kata mengenainya.

Ada orang yang ghairah dengan kelembutan lidah Umno itu. Lembutnya Umno ketika itu, tidak mati semut dipijak. Tetapi PAS tidak tertarik dengan semua tawaran itu kerana semuanya dibuat dengan penuh muslihat.

Tetapi PAS tidak mengunci pintunya tentang sebarang perbincangan. Walaupun ia menutup tentang tawaran menjadi menteri besar boneka di beberapa negeri, tetapi pintu yang tidak berkunci itu boleh dibuka. Terus menerus Umno menyuarakan tentang esoknya Umno dan PAS berdua pula.

Kalau pun pintu dikunci tetapi anak kunci tersimpan. Bila-bila kunci boleh dibuka. Masa itulah timbul isu kerajaan perpaduan yang terus disambut oleh Umno hingga dunia ini kiamat.

Apa yang dikatakan keterbukaan Umno itu hanya manis di bibir dan lembut di lidah. Ia tidak membina jambatan perpaduan itu. Tiada tindakannya yang menarik di Perak, di Kedah dan di Kelantan yang boleh menarik usaha ke arah kerajaan perpaduan. Tiada apa yang dapat ditimbangkan apa lagi untuk dipercayai.

Ia tidak lebih seperti sang buaya yang mengangakan mulut. Jika ia didekati, buaya lapar itu akan menyambar apa yang boleh jadi rezekinya. Semua tawaran Umno itu tidak lebih dari usaha untuk menelan PAS. Buaya akan menangis selagi rezeki tidak masuk ke rahangnya.

Tiada ulasan: