"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli Parlimen kesal kerajaan sembunyi laporan tanah runtuh Bukit Antarabangsa

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 25 Nov:
Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin pagi tadi melahirkan rasa kecewa kerana Kabinet enggan menjelaskan punca sebenar kes tanah runtuh di Bukit Antarabangsa Disember tahun lalu kepada penduduk terbabit.

Beliau yang juga Ketua Wanita PKR menganggap keputusan kerajaan meletakkan Laporan Siasatan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa sebagai Rahsia Kerajaan sebagai tindakan tidak telus.

"Kes ini melibatkan tiga kematian dan semua penduduk yang terlibat nak tahu punca sebenar kes tanah runtuh itu."

"Kerajaan 1Malaysia tidak perlulah sembunyikan punca tanah runtuh itu. Kalau kerajaan Pakatan (Rakyat) di Selangor boleh telus menjelaskan hasil siasatan negeri, kenapa kerajaan persekutuan takut," jelasnya.

Ujarnya, arahan kabinet agar Kementerian Kerja Raya (KKR) agar mendedahkan status laporan berkaitan, mengakibatkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya sukar menyelesaikan beberapa masalah berbangkit dalam kalangan penduduk terbabit.

Tambahnya lagi, laporan KKR tersebut penting demi mempercepat penguatkuasaan undang-undang berkaitan pembanguan di kawasan cerun bukit di Selangor.

Beliau juga mendesak kerajaan prihatin dengan keselamatan penduduk di sekitar Bukit Antarabangsa dengan memberitahu situasi sebenar seperti dalam laporan rahsia tersebut.

6 Disember tahun lepas, sebanyak 14 banglo mewah di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah ranap ditelan bumi.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan lebih 93 mangsa yang tertimbus, berjaya diselamatkan oleh pihak berwajib.

Khalid juga menasihatkan lebih 3,000 hingga 5,000 penduduk di sekitar kawasan cerun terbabit dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

Kerajaan Selangor yang memulakan kerja-kerja kebajikan dan siasatan kes tanah runtuh tersebut, kemudiannya diambil alih oleh kabinet atas sebab-sebab tertentu.

Kelewatan kabinet melambat-lambatkan pendedahan punca tanah runtuh tersebut bukan sahaja melambatkan tindakan susulan kerajaan negeri, malah membebankan penduduk terbabit yang sudah kehilangan kediaman hampir setahun.

Tiada ulasan: