"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hassan Karim keluar PRM untuk sokong Pakatan Rakyat

Harakahdaily
JOHOR BHARU, 22 Nov:
Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hassan Abdul Karim meletakkan jawatannya berikutan usul beliau agar PRM memohon menyertai Pakatan Rakyat ditolak.

Keputusan meletkkan jawatan itu dibuat Hassan dalam satu surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agong PRM, Koh Swe Yong baru-baru ini.

Kongres Nasional PRM kali ke-41 pada 15 November dii Kuala Lumpur baru-baru ini menolak cadangan Hassan agar PRM memohon menyertai Pakatan Rakyat.

Cadangan itu dibuat oleh Hassan melalui Ucapan Dasar Presiden. Hassan telah menjadi Presiden PRM selama 5 tahun dan lebih 31 tahun sebagai ahli PRM.

(Gambar: Hassan letak jawatan Presiden PRM untuk bersama Pakatan Rakyat)

PRM dihidupkan semula oleh Hassan dan para penyokongnya selepas pimpinan PRM sebelum itu, Dr Syed Husin Ali dan rakan-rakannya memutuskan untuk bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (PKN).

Pergabungan antara PRM dan PKN telah membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Baru-baru ini, Dr Syed Husin telah dilantik sebagai senator oleh Dewan Negeri Selangor.

"Saya tiada pilihan lain sebagai seorang pemimpin yang bermaruah melainkan satu pilihan sahaja iaitu meletak jawatan sebagai Presiden PRM, ahli Jawatankuasa Pusat dan semua jawatan saya di dalam parti berkuatkuasa serta merta," kata Hassan dalam suratnya itu.

Hassan juga mengambil keputusan untuk meninggalkan PRM ekoran peristiwa tersebut.

"Memandangkan saya ingin memberi kerjasama dan sokongan yang kuat kepada Pakatan Rakyat dan tidak mahu tindakan-tindakan saya itu nanti akan menjejaskan kedudukan dan pendirian pimpinan PRM maka saya dengan hati yang amat berat mengambil keputusan meninggalkan Parti Rakyat Malaysia yang saya sayangi ini dengan berkuatkuasa serta merta juga," tulis Hassan dalam surat yang dihantar kepada media itu.

Tiada ulasan: