"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS: Perarakan Maulidur Rasul bukan wajib, Umno politikkan isu

Mohd Zuharman

KOTA BARU: Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, perarakan sambutan Maulidur Rasul bukan perkara berwajib bahkan boleh dianggap sebagai perbuatan bidaah jika acara itu sahaja diutamakan.

Demikian reaksi Abdul Latif berhubung tuduhan pemimpin Umno yang cuba mengeksploitasikan pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan melabelkan beliau sebagai anti-Islam kerana dikatakan memutuskan untuk membatalkan perarakan kali ini.

“Tuduhan pentadbiran Lim Guan Eng sebagai anti-Islam itu saya tidak tahu, apa yang menarik perhatian saya di sebalik haru-biru situasi di Pulau Pinang dalam persoalan ini ialah Umno seolah-olah dilihat cuba mengutamakan perarakan.

“Besarnya sambutan hari Maulidur Rasul bukan pada perarakan. Nabi sendiri tidak pernah menuntut umatnya supaya berbuat begitu,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Beliau yang juga selaku pelapis kepada golongan ulama PAS Kelantan memberitahu manfaat sebenar lagi mendalam akan diterima umat Islam menerusi penghayatan sejarah Maulidur Rasul itu sendiri dan ia sebenarnya yang menjadi tuntutan Islam, bukannya perarakan semata-mata.

“Malangnya bagi Umno jika hanya asyik membesar-besarkan perarakan daripada penghayatan, ini menunjukkan betapa cetek fahaman Umno tentang keagamaan.

“Dalam PAS sudah lama tekankan konsep ini. Malah saya sendiri telah banyak kali cuba dedahkan realiti atau rasionalnya amalan ini melalui khutbah-khutbah Jumaat serta kuliah-kuliah agama saya sebelum menjadi tok wakil (wakil rakyat) lagi.

“Tidak tahulah saya takut-takut Umno sengaja hendak mempolitikkan perkara itu setelah mendapati Lim cuba membatalkan upacara yang dianggap telah menjadi amalan tradisi di kalangan sesetengah masyarakat Islam,” katanya.

Kelmarin Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata tindakan kerajaan negeri pimpinan Lim membatalkan acara perarakan dalam sambutan Maulidur Rasul menggambarkan seolah-olah Ketua Menteri itu tidak menyokong hasrat dan cita-cita orang Islam.

Kata Muhyiddin, perkara yang telah menjadi amalan tradisi tidak sepatutnya diberhentikan apatah lagi dalam situasi negara yang perlu sentiasa menjaga sensitiviti semua kaum.

Dalam kenyataan dua hari berturut-turut, Lim mengesahkan bahawa perarakan itu akan diteruskan sambil menyifatkan laporan Utusan Malaysia sebagai satu pembohongan.

Katanya kerajaan negeri tidak pernah membuat sebarang pengumuman mengenai perkara itu.

“Kami terkejut dengan kenyataan palsu itu dan kerajaan negeri serta Jabatan Agama Islam sebenarnya telah merancang mengenai pelbagai program sempena sambutan ini tiga bulan lepas,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Abdul Malik Abdul Kassim juga menegaskan kerajaan Pulau Pinang tidak pernah berhasrat untuk membatalkan perarakan sempena Maulidur Rasul tahun ini sambil menjelaskan surat yang disebarkan menerusi internet hanya satu syor yang dikemukakan oleh pegawai-pegawai kerajaan.

Katanya surat-surat berkenaan hanya syor untuk mengubah format sambutan selama tiga mulai 25 Feb ini.

Abdul Malik berkata sambutan Maulidur Rasul akan bermula dengan majlis bacaan yasin dan tahlil di semua masjid di seluruh negeri pada Khamis (25 Feb) malam.

Perarakan Maulidur Rasul pula akan diadakan pada 26 Feb bermula 7 pagi di Padang Kota dan berakhir di Dewan Sri Pinang dan Timbalan Ketua Menteri 1 Mansor Othman dijadual menyertai perarakan itu.

Antara aktiviti lain yang akan diadakan ialah Perhimpunan Ummah di Dewan Sri Pinang, pameran ketamadunan Islam dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia dan Jabatan Mufti Negeri dan Majlis Bacaan Kitab Sirah Nabi

Muhammad s.a.w pada 27 dan 28 Feb di Masjid Negeri.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: