"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tindakan persoal kedudukan Setiausaha Agung Pas tidak berasas

SHAH ALAM: Segala urusan pentadbiran adalah melalui Setiausaha Agung sebagaimana prosedur yang telah ditetapkan semenjak Pas ditubuhkan pada 1951, kata Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, tindakan Exco Pemuda Pas Pusat, Abdullah Karim mempersoalkan kedudukan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali yang mengelolakan aduan sehingga Jawatankuasa Disiplin dilihat hanya menerima arahan Mustafa tidak berasas.

“Prosedur tersebut sudah wujud daripada dahulu lagi, ia bukan suatu yang pelik dan tidak timbul soal itu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatan Disiplin berkata, dalam siasatan setiap aduan yang diterima, tidak wujud istilah berat sebelah.

“Setiap aduan yang diterima akan disiasat, namun jika tiada bukti, aduan tersebut ‘dilepaskan’, dan aduan beliau (beliau) juga sebenarnya disiasat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tuan Ibrahim berkata, adalah lebih baik sekiranya Abdullah menumpukan perhatian untuk memperkasakan parti daripada menghentam Jawatankuasa Disiplin.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim enggan mengulas lanjut ketika diminta mengulas mengenai tindakan Abdullah sanggup bersumpah dengan nama Allah bahawa kenyataan beliau di dalam blognya yang mengatakan aduan Abdullah berhubung penglibatan ahli Pas dalam ‘konspirasi menjatuhkan pakatan pembangkang’ tidak benar.

Ditanya adakah Abdullah juga bakal menerima nasib seperti Khalid Samad dan Datuk Hasan Ali yang disiasat kerana membuat kenyataan terbuka, Tuan Ibrahim berkata: “Kita tidak boleh sewenangnya mengambil tindakan ke atas mana-mana individu melainkan ada aduan oleh Jawatankuasa Pusat melalui Setiausaha Agung diterima oleh Jawatankuasa Disiplin.”

Terdahulu, portal berita melaporkan Abdullah yang sebelum ini mengecam Tuan Ibrahim dalam isu jawatankuasa disiplin kini bersumpah dengan nama Allah bagi mempertahankan hujahnya.

Abdullah yang juga Ketua Pemuda Pas Pahang mempersoalkan kedudukan Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali yang mengelolakan aduan kepada jawatankuasa disiplin kerana ia dilihat memberikan kuasa yang cukup besar kepadanya seolah-olah jawatankuasa itu hanya menerima arahan dari Setiausaha Agung.

Abdullah dalam aduan sebelum ini mendakwa jawatankuasa disiplin Pas berat sebelah apabila memejamkan mata terhadap aduan tertentu, termasuk yang dilaporkannya kepada pejabat agungnya.

-SinarHarian-

Tiada ulasan: