"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Istana Kelantan enggan ulas kes Raja Perempuan, isteri kedua

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Pihak Istana Kelantan tidak mahu membuat sebarang kenyataan berkaitan kes membabitkan Raja Perempuan Kelantan dengan isteri kedua Sultan Kelantan, Elia Suhana Ahmad kerana ia melibatkan hal peribadi Sultan Ismail Petra.

Kenyataan yang dikeluarkan menyebut Sultan Ismail Petra sendiri akan menguruskannya apabila baginda sembuh dari kegeringan.

Demikian kenyataan dibacakan oleh Pengelola Istana Datuk Abdul Halim Hamad di Kota Baru hari ini.

Kelmarin Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan-Tinggi, Abu Bakar Abdullah Kutty mengesahkan bukan Sultan Kelantan yang memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai talak tiga terhadap Elia Suhana.

“Bukan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan sebenarnya yang mengemukakan permohonan tersebut sebagaimana dikeluarkan (dalam) akhbar, tetapi ia dipohon oleh seorang wanita yang bernama Nik Rohana Abdul Rahman,” katanya.

Sultan Kelantan telah berkahwin dengan Elia Suhana pada 31 Dis 2007.

Laporan Bernama awal minggu ini menyebut Sultan Ismail melalui peguamnya Zainul Rijal Abu Bakar telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap Elia Suhana.

Zainul berkata beliau telah dititahkan oleh Sultan Kelantan supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai.

Mengikut laporan, Zainul mendakwa beliau telah dititahkan oleh Sultan Kelantan supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai yang telah dilafazkan baginda pada 12 Feb lalu di hadapan beberapa orang saksi.

Sehubungan itu mahkamah putuskan akan mendengar permohonan itu 21 Mac ini.

Dalam pada itu kenyatan yang dibacakan oleh Pengelola Istana itu menambah, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra tidak mempunyai sebarang kuasa dalam undang-undang mengikut Perlembagaan Kelantan.

Justeru beliau tidak boleh bertindak bagi pihak baginda Sultan Kelantan semasa kegeringan baginda atau melaksanakan kuasa-kuasa sebagai pemerintah sebagaimana yang disebut dalam Perlembagaan Negeri.

“Sebagaimana yuang disebut dalam Perlembagaan Negeri, hanya Pemangku Raja yang berhak melaksanakan tugas sebagai pemerintah sehingga baginda sultan sembuh dari kegeringan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan ini dikeluarkan oleh pihak Istana Diraja Kelantan sebagai satu respons kepada artikel-artikel yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia sejak 2 Mac lalu, yang bertajuk “Sultan Kelantan hanya perlu rawatan fisioterapi susulan”, “Sultan Kelantan berangkat pulang”, Tuanku Ismail Petra mohon maaf tidak dapat temui rakyat” dan “Sultan Kelantan jalani rawatan fisioterapi di istana” serta oleh The Star pada 6 Mac bertajuk “Poser after Sultan’s return”.

Kenyataan itu menyebut Sultan Kelantan masih menjalani rawatan susulan di Kota Baru dan tidak berupaya untuk menjalankan tugas-tugas hal ehwal berkaitan negeri Kelantan sebagaimana yang disebut dalam Artikel 22A Undang-undang Tubuh Perlembagaan Kerajaan Kelantan Bahagian Kedua.

Sebagaimana yang diperuntukkan dalam Klausa 1 (b) dan Klausa (3) dalam Artikel 22A Undang-undang Tubuh Perlembagaan Kerajaan Kelantan, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Faris Petra akan menjalankan tugasnya sebagai pemerintah sehingga baginda sultan sembuh dari kegeringan.

“Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Tengku Temenggong yang telah disiarkan oleh kebanyakan akhbar terutamanya Utusan Malaysia berkaitan keadaan kesihatan baginda sultan adalah kenyataan peribadi Tengku Temenggong tanpa sebarang kebenaran daripada Pemangku Raja Kelantan.

“Sehingga baginda sultan sembuh sepenuhnya daripada kegeringan Pemangku Raja Kelantan akan terus melaksanakan tugasannya berkaitan hal ehwal negeri.

“Pihak Istana Kelantan buat masa sekarang tidak akan membuat sebarang kenyataan berkaitan pertelingkahan di antara Tengku Temenggong Kelantan dengan Pemangku Raja Kelantan dan Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan dengan pembuangan Tengku Temenggong Kelantan daripada Majlis Perajaan Negeri pada 16 September 2009, buat masa sekarang kes berkaitan masih lagi di peringkat Mahkamah Rayuan kerana Tengku Temenggong Kelantan berasakan beliau mempunyai asas untuk berbuat demikian,” katanya.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: