"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Karikatur hina Nabi: Malaysia kutuk, mahu Sweden bertindak

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Kerajaan Malaysia mendesak kerajaan Sweden bertindak terhadap tiga akhbar negara itu kerana menerbit dan menyiarkan semula karikatur Nabi Muhammad s.a.w. pada Rabu lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya penyiaran karikatur itu.

“Malaysia memandang berat perbuatan yang amat menghina itu yang tidak menghiraukan sensitiviti dunia Islam, konon atas nama kebebasan bersuara.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab sedemikian adalah bersifat provokatif dan menghina, oleh itu tidak dapat diterima sama sekali,” kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Beliau mendesak kerajaan Sweden agar bertindak terhadap penerbitan seumpama itu bagi mengelakkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dari berulang pada masa depan.

Lakaran karikatur yang menggambarkan kepala Nabi Muhammad s.a.w. pada badan anjing, direka oleh pelukis Sweden Lars Vilks, 63, dan dikemukakan sebagai bahan pameran ke sebuah pusat warisan budaya Sweden.

Bagaimanapun, lakaran itu ditolak atas sebab-sebab keselamatan.

Namun, sebuah akhbar Sweden kemudian menyiarkannya bersama sebuah editorial yang mempertahankan kebebasan bersuara yang membawa kepada bantahan negara-negara Islam dan Vilks menerima beberapa ancaman bunuh.

Rabu lepas, tiga akhbar Sweden menyiarkan semula karikatur itu.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: