cipanda
Seorang sahabat yang sudah hampir pencen memberitahu saya keadaan kerja beliau kini amat tidak menyenangkan hatinya. Tiap-tiap hari beliau mengira bulan sampai bilakah beliau terpaksa bekerja dalam suasana tegang seperti sekarang.
Menurut sahabat ini, setiap agensi kerajaan yang terlibat secara langsung atau secara separa langsung dengan penguatkuasaan diwajibkan menjalankan kerja penguatkuasaan secara maksima.
Dengan erti kata lain, kerajaan sedang menekan dan menghimpit rakyat jelata secara keras bagi mendapatkan pulangan kewangan kepada kera-jaan semula daripada rakyat. Setiap agensi terlibat diberi target tahunan tertentu. Maka kakitangan kera-jaan ini diperah supaya mendapatkan pencapaian bulanan mereka bergantung kepada kes yang mereka dapat dakwa rakyat jelata.
Rakyat sedang dihimpit oleh keadaan ekonomi Negara yang buruk urus tadbirnya. Keadaan ekonomi amat tidak menentu jika kita serius turun ke bawah untuk mengetahuinya. Namun jika kita mendengar ulasan pencapaian terkini prestasi ekonomi Negara dari beberapa ‘Nuclear-powered economist’ dari Bank Negara, ekonomi dikatakan sedang meningkat prestasinya! Ini anggota KERA-jaan yang berkata. Tapi adakah mereka betul?
Seorang sahabat juga yang berbangsa cina merupakan pengusaha kedai tayar dan bateri yang agak besar dengan beberapa cawangan dalam negeri. Cawangan yang beliau usahakan menurutnya mempunyai nilai ‘turnover’ bulanan sebelum tahun 2007 sebanyak RM 270,000.00. Pada tahun 2008, nilai turnover bulanan turun ke paras RM 160,000.00. Pada hujung tahun 2009, nilai turnover bulanan telah menurut ke paras RM 120,000.00 sahaja. Menurutnya, sepanjang tahun 2010 ini, turnover bulanan cawangan beliau hanya beredar sekitar RM 90,000.00 sahaja. Dahulu, cawangan beliau mempunyai lebih 10 orang pekerja. Kini beliau ada hanya 4 orang pekerja dan beliau jugak terpaksa bekerja untuk menampung kekuatan pasukannya.
KERA mana yang mengatakan ekonomi Negara sudah pulih?
Dengan keadaan ekonomi meruncing, KERA yang berkuasa menekan rakyat jelata melalui penguatkuasaan berbagai agensinya untuk mendapatkan pulangan kewangan. Cukai pendapatan bukan lagi dibayar melalui sumbangan tahunan tetapi melalui penguatkuasaan kegagalan rakyat membayar cukai! Rakyat diheret ke mahkamah!. Begitu juga JPJ dengan saman-saman nya, PDRM pun sama sibuk dengan saman ekornya. Suruhanjaya Syarikat sama sibuk kejar pengusaha yang gagal menunaikan urusan persyarikatan. Majlis KERA-jaan tempatan jugak sibuk dengan saman parking dan penguatkuasaan lesen berniaga dan urusan kebersihan. EPF pantang terlambat kita mencarum, mereka akan hantar kompaun dan denda! Bagi pengusaha, pendapatan syarikat yang sudah berkurangan sudah memungkinkan mereka membuang pekerja yang perlu mereka tampung kos tambahan penabungan EPF mereka! Namun ramai TERPAKSA menyimpan pekerja yang mereka sudah latih untuk meneruskan perniagaan yang saban hari kekurangan pendapatannya. Rakyat yang sudah terjerat dengan kurang pendapatan kerana urus tadbir ekonomi yang PINCANG oleh sang KERA makin ditekan oleh sang KERA yang berKUASA!
Saya teringat kepada satu Hadis Nabi saw mengenai zaman kehidupan manusia ini. Saya petik sebahagian sahaja dari Hadis tersebut......
“selepas itu akan ada pemerintahan beraja (keturunan) dan ini akan berkekalan selama Allah mengkehendakinya, kemudian Allah akan mengangkatnya. Selepas itu akan timbul penindasan yang teruk dan ia akan berkekalan selama mana Allah mengkehendakinya, kemudian Allah akan mengangkatnya....”
Nyata kita sedang berada di zaman perantara kedua-dua zaman ini.....zaman raja berketurunan dan zaman penindasan! Nyata jugak raja berketurunan di Negara ini sudah sampai ke penghujung usia di mana kuasa raja sudah ‘diserahkan’ kepada sang KERA. Ramai raja sudah dijadikan tukang angguk sahaja oleh sang KERA. Mufti-mufti kita yang sepatutnya menjaga kesucian agama dengan menasihati raja sudah lupa apa bidang tugas kerja depa. Mereka juga nampaknya sudah terikat dengan cara ‘mainan’ sang KERA!
Namun Hadis Nabi saw itu ada sambungannya sebelum ke penghujungnya.
“Selepas itu akan ada Khalifah mengikut cara kenabian dan selepas itu Rasulullah saw mendiamkan diri”.
(potongan Hadis dari Musnad Ahmad bin Hambal)
Maka kita rakyat jelata terpaksa mengharungi keresahan, kepedihan, kesusahan, keperitan, kesengsaraan dari kesan himpitan dan tekanan sang KERA ini. Paling nyata, keadaan ini akan bertambah perit pada masa mendatang ini. Sang KERA sudah seolah-olah mendapat lesen besar yang mereka sendiri adakan untuk menindas rakyat. Bilakah ianya akan berakhir apabila sang KERA akan diganti oleh pemerintahan mengikut cara kenabian? Sudah pasti sang KERA bukan memerintah berunsur kenabian! Mereka jangan seronok mengeluarkan kata-kata bahawa mereka mengikut sistem pemerintahan Islam! Ini semua adalah hanya berupa HALWA TELINGA kepada kita yang beragama Islam di Negara Malaysia yang mereka seronok katakan sebagai sebuah Negara Islam ini.
Sebenarnya, kekayaan Negara hanya berkisar di kalangan beberapa kerat manusia yang merupakan ahli keluarga, sahabat dan kroni sang KERA. Ini adalah hakikat keadaan sekarang yang sedang melanda Negara ini dan hampir keseluruhan manusia di seluruh bumi ini. Tiap-tiap hari, kita disajikan dengan berbagai bentuk rusuhan di merata dunia. Sang KERA dengan rakusnya menentang kebangkitan rakyat dengan senjata mereka. Sang KERA di Negara ini ada satu kelebihan. Mereka ada senjata sulit bergelar ISA....Ikut Suka Aku!
The Most Corrupted Malaysian!!!
Kita semua perlu fikirkan apakah akhirnya perjalanan kehidupan kita terutama kepada sang KERA yang sedang menjadi raja ini. Bagi sang raja pula bilakah kuasa itu hendak diambil semula daripada sang KERA? Atau ianya sudah terlambat kerana zaman tidak akan berpaling ke belakang!
Seterusnya, hanya pemerintah berupa Khalifah mengikut cara kenabian yang akan ada. Namun penindasan sang KERA akan menghantui manusia sebelum kelahiran Khalifah akhir zaman!
Bersedialah menghadapi sang KERA yang bakal menunjukkan keganasan serta taringnya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan