"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sukarelawan kemanusiaan Gaza negara ucap terima kasih

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 6 Jun:
Dua belas rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusian ke Gaza, mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat negara ini yang telah mendoakan keselamatan mereka dan memberi tekanan kepada Israel sehingga mereka akhirnya dibebaskan.

Ketua misi sukarelawan Malaysia daripada HaluanPalestin, Noorazman Mohd Samsuddin berkata, tanpa doa dan usaha rakyat negara ini, mereka tidak tahu bagaimana nasib mereka berada dalam tahanan tentera Israel.

"Wira sebenar adalah rakyat negara ini. Ada yang saya dengar berarak di tengah panas membantah Israel.

"Kami tidak tahu apa akan berlaku pada kami, ditahan berlanjutan seminggu, dua minggu, sebulan atau setahun," katanya pada satu majlis meraikan mereka pagi ini.

Menceritakan pengalaman sukar yang dilalui, beliau berkata, Penjara Besherfa seperti memang disediakan untuk mereka.

"Tilam penjara masih berplastik, tuala masih berbau kedai dan baju masih ada tanda harga," tambahnya lagi.

Bagaimanapun, paling memberi tekanan kepada mereka ialah semasa proses penahanan dari kapal ke penjara oleh tentera Israel.

"Perkara paling menakutkan apabila diikat 15 jam dalam kapal, diheret masuk ke penjara yang prosesnya sembilan ke 10 jam dan ditahan dalam penjara 15 jam," ceritanya lagi.

Beliau juga menggesa kerajaan Malaysia segera membawa perkara tersebut ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengheret Israel ke mahkamah antarabangsa.

"Kami memohon maaf atas apa yang berlaku ini kerana telah menyusahkan anda semua," katanya.

Selain Noorazman, 11 rakanya yang selamat tiba di tanah air jam 5.45 pagi tadi termasuklah Dr Mohd Arbai’e Syawal, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, Al-Hami Husain Suhaimi dan Mohd Nizam Mohd Awang.

Manakala Hasanuddin Mohd Yunus dari Aqsa Syarif, Jamuliddin Elias (Yayasan Amal), Dr Selamat Aliman (JIM), Abdul Halim Mohd Redzuan (Muslim Care), Mustafa Mansur (Mapim) serta wartawan dan jurukamera Astro, Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Latif.

Tiada ulasan: