"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Orang muda dah sokong PAS, pemimpin jangan terlajak sangat

ZULKIFLI YAHAYA

Tiada cawangan PAS di Kampung Alor Keriang yang terletak dalam kawasan Parlimen Alor Setar, sekalipun di situ terdapat cawangan Umno. Dalam pilihanraya umum 2008, PAS menang di 15 daerah mengundi dalam kawasan DUN Alor Mengkudu dan kalah di cuma satu daerah mengundi yang di dalamnya terdapat Kampung Alor Keriang. Kekalahannya di daerah mengundi itu hanya 58 undi, berbanding PAS menang di tempat-tempat lain dengan ratusan undi.

Peristiwa mengejutkan berlaku di kampung yang menjadi kubu kuat Umno itu ialah baru-baru ini ialah majlis penyerahan borang permohonan menyertai PAS oleh ahli-ahli Umno. Borang diserahkan kepada Pegawai Khas Menteri Besar, Ustaz Hassan Razak yang mewakili Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Razak.

Pemuda-pemuda Umno kampung itu adalah sebahagian besar dari sejumlah 100 borang permohonan menyertai PAS itu. Sebahagian besar darinya adalah terdiri dari bekas ahli-ahli Pemuda Umno, sehingga dikatakan pergerakan Pemuda Umno kampung tersebut lumpuh sama sekali. Saya tertarik untuk mencatatkan peristiwa tersebut bukan kerana ia terlalu luar biasa tetapi sekadar menjelaskan bahawa fenomena sokongan golongan muda terhadap Pakatan Rakyat menjadi semakin rancak selepas pilihanraya umum ke 12. Ia macam Tsunami berskala kecil tetapi berlaku secara menyeluruh di seluruh negara.

Satu kajian yang dibuat di negeri Selangor menunjukkan sokongan majoriti golongan muda adalah terhadap Pakatan Rakyat. Akhbar yang menjadi lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia, baru-baru ini mendedahkan pula bahawa kajian oleh Makmal Pemuda BN mendapati 62 peratus pengundi muda bersikap tidak memihak atau berada ‘di atas pagar’. Sebenarnya, perkara mengejutkan dalam penemuan itu ialah majoriti golongan muda sudah tidak memihak kepada BN.

Dalam keadaan kepincangan demokrasi yang berlaku di negara ini, media yang berat sebelah dan kuasa dan wang yang digunakan BN untuk ‘merasuah dan mengugut’ rakyat, tiba-tiba ia masih belum mampu untuk menarik majoriti rakyat, khususnya golongan muda untuk menyokong BN, maka ia adalah suatu perkembangan yang menyakitkan parti tua yang sedang berkuasa di Pusat itu.

Pengarah Institut Pembangunan Sosioekonomi dan Penyelidikan (SEDAR), Khaw Veon Szu percaya kebanyakan belia di negara ini cenderung kepada pembangkang. “Saya percaya pengundi muda ‘atas pagar’ sebenarnya pada kadar 30 peratus dan ia tidak mencecah sehingga 60 peratus. Konsensus secara umum bagi golongan muda dan ligat itu pada amnya mereka memihak pembangkang,” ujarnya. Pada pilihanraya kecil Bukit Selambau 2009 lalu, kajian yang dibuat oleh sebuah badan penyelidik professional mendapati peratus pengundi ‘atas pagar’ adalah paling tinggi berbanding BN dan Pakatan. Tetapi sokongan golongan tersebut beralih kepada Pakatan dalam peti undi.

Speaker DUN Kedah yang juga bekas pensyarah Dato’ Dr. Isa Ismail menjelaskan bahawa responden tidak takut untuk mengaku menyokong BN jika dia benar-benar penyokong BN. Manakala ramai responden yang berhati-hati untuk mendedahkan sokongan kepada Pakatan Rakyat apabila ditanya di atas kekhuatiran tertentu. Maka di dalam kelompok yang mendakwa diri mereka ‘atas pagar’ itu sebahagian besarnya adalah penyokong Pakatan Rakyat.

Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, kecenderungan pengundi muda kepada parti pembangkang sebahagian besarnya disebabkan faktor ‘tolakan’ dari BN dan bukannya faktor ‘tarikan’ dari Pakatan Rakyat.

Dalam keadaan BN sedang bergelut untuk mengembalikan sokongan bukan Melayu tiba-tiba mereka dibebankan pula dengan penghakisan keyakinan golongan muda terhadap mereka. Tentunya situasi ini menyakitkan BN.

Dalam keadaan BN sudah tidak mampu lagi untuk menarik sokongan, maka memecahbelahkan perpaduan musuh menjadi strategi pilihan.

Dua isu yang terbukti berkesan (sehingga kini) dalam memecahkan perpaduan antara PAS dan DAP ialah isu negara Islam, manakala sesama anggota PAS ialah isu kerjasama Umno-PAS. Umno tidak pernah ikhlas mengenai kerjasama Umno-PAS. Namun apabila parti asobiyah itu berjaya memperalatkan beberapa NGO serta ulamak lurus bendul seperti Dato’ Harussani, maka masyarakat umum melihat bahawa usaha penyatuan itu sebagai ikhlas.

Maka apabila tiba-tiba terdapat pemimpin PAS yang menyanggah usaha muzakarah Umno-PAS dengan nada mengejek, agresif, penentangan keras dan menolak mentah-mentah; maka PAS akan dilihat angkuh dan sombong. Ia suatu kejayaan besar bagi Umno.

Di satu pihak yang lain, terdapat pemimpin yang lebih terlajak dengan mendahului keputusan parti, menyondol kepala kepada tokoh-tokoh yang cenderung kepada Umno. Ia mencetuskan rasa marah golongan lain sehingga mendesak supaya pemimpin seperti itu dipecat dari parti. Situasi seperti ini juga adalah yang dimahukan oleh Umno.

Pendeknya pertembungan kedua-dua golongan terlajak ini sangat menguntungkan Umno. Dan memang itu yang diidamkan Umno sewaktu melontar isu kerjasama Umno-PAS.

Dalam hal ini kebijaksanaan bekas Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Noor wajar dicontohi. Apabila Umno menganjurkan mahu bermuzakarah dengan PAS, Almarhum pantas melayan usaha tersebut. Masyarakat umum, khususnya orang Melayu, melihat PAS sebagai parti yang berjiwa besar, cintakan perpaduan.

Pertemuan diadakan di peringkat Setiausaha kedua parti. Di situ PAS mengusulkan bahawa demi melahirkan suasana kondusif, Umno selaku peneraju Pusat diminta menunaikan beberapa permintaan. Sehingga akhirnya permintaan tersebut tidak dapat ditunaikan oleh Umno. Ia berjaya melenyapkan isu asalnya iaitu muzakarah rasmi antara Umno-PAS. Kegagalan muzakarah adalah kerana keengganan Umno mewujudkan suasana kondusif, bukan kerana (kononnya) keegoan PAS.

PAS tidak menolak perpaduan tetapi menolak ‘usaha perpaduan’ yang berniat jahat iaitu untuk memecahkan antara PAS dengan rakan-rakan Pakatan atau sesama anggota PAS. Kebijaksanaan Almarhum Dato’ Fadzil perlu diwarisi oleh kepimpinan PAS terkini.

Tiada ulasan: