"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MCA 'Tegur' Umno: Helah Terancang Untuk Kekal Kuasa

SHAH ALAM 12 OKT: Parti Komponen Barisan Nasional, MCA, yang diberikan peluang untuk 'menegur' pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah sebahagian daripada helah terancang pemerintah dalam memastikan kuasa kekal di tangan mereka, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang.
Menurut Lih Kang, pendekatan tersebut digunakan oleh Najib untuk memberi gambaran bahawa MCA juga mempunyai kuasa untuk bersuara walaupun hakikatnya, parti itu hanyalah 'pak turut' semata-mata.

Kenyataan Najib itu katanya sekaligus menjatuhkan maruah MCA.

"Tetapi Perdana Menteri bagi ruang untuk kritik sahaja. Bukan memberikan peluang untuk melaksanakan polisi itu. Saya rasa ini adalah kenyataan yang amat memalukan MCA.

"Sekaligus menunjukkan bahawa MCA selama ini memang tidak mempunyai ruang untuk mengkritik polisi Barisan Nasional dan mereka memang tidak ada kuasa untuk menggubal polisi. Jadi sekarang Perdana Menteri kata mahu beri ruang," ujar Lih Kang ketika dihubungi TV Selangor petang tadi ketika diminta mengulas sejauh mana parti MCA masih relevan di kalangan masyarakat Cina.

Tambah Lih Kang, 'pembaharuan' yang cuba diterapkan oleh Najib itu disampaikan pada mesyuarat agung tahunan MCA awal minggu ini yang membawa mesej supaya MCA keluar dari kepompong perkauman disamping memberi keyakinan bahawa parti itu berhak untuk memberi kritikan terhadap pentadbirannya.

"Mereka cuba beri gambaran bahawa MCA mempunyai sedikit kuasa dan suara dalam Barisan Nasional tapi saya rasa kebanyakan orang sudah ada maklumat sebenar berkenaan keadaan ini.

"Tetapi ini menguatkan hujah kita bahawa MCA langsung tidak berkuasa dalam Barisan Nasional. Dalam kedudukan seperti ini, tidak ada orang Cina yang akan sokong mereka," tambah beliau lagi.

Selain itu tambah Lih Kang, tindakan Kongres Ekonomi Cina Malaysia yang mencadangkan supaya ekuiti 30 peratus Bumiputera dihapuskan lalu disokong oleh Presiden MCA, Chua Soi Lek hanyalah salah satu taktik yang bertujuan untuk mengelirukan masyarakat Cina.

"Selama ini masyarakat Cina memang mengharapkan mereka ada satu suasana yang lebih adil dan saksama supaya mudah bagi mereka mencari rezeki.

"Mereka telah memberikan banyak peluang kepada Umno-Barisan Nasional tetapi mereka tidak dapat memenuhi kehendak tersebut. Namun kini masyarakat Cina berada di satu tahap mereka betul-betul merasa hampa," katanya lagi.

Tiada ulasan: