KUALA LUMPUR 15 OKT: Kira-kira 500 individu mengadakan protes di hadapan Bangunan Majlis Peguam membantah campurtangan Majlis Peguam dalam penyiasatan kes-kes yang masih dalam siasatan polis.
Protes yang dianjurkan oleh Majlis Gabungan NGO-NGO Melayu Islam (MGNMI) mendakwa Majlis Peguam menganggap remeh pembunuhan empat muslim hingga menimbulan tanda tanya kepada umum tentang peranan sebenar mereka sebagai pengamal undang-undang.
MGNMI juga mendesak penubuhan satu Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat Majlis Peguam yang didakwa sering mempertikai dan cuba mengganggu proses siasatan polis terhadap suspek kes-kes yang sedang dalam siasatan.
"Adakah ia sebagai sebuah badan guaman yang benar-benar bebas untuk melindungi kepentingan awam atau sebenarnya menjadi sebagai alat kepada parti- parti tertentu tanpa mempedulikan sensitiviti rakyat berbilang kaum di negara ini?" soal MGNMI dalam kenyataannya.
Kira-kira 100 anggota polis dan unit perisai polis (LSF) berada di lokasi menghalang daripada memasuki bangunan Majlis Peguam.
Difahamkan lapan wakil MGNMI dibenarkan berjumpa dengan setiausaha Majlis Peguam bagi menyerahkan satu memorandum menyatakan pendirian dan tuntutan mereka.
Keadaan kecoh seketika jam 2 petang tadi apabila polis cuba menghalang beberapa individu yang menaikkan kain rentang dan 'cut out' mengutuk suspek pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, tetapi reda setelah peserta protes bersetuju untuk menurunkan semula kain rentang tersebut.
Dalam memorandum tersebut, MGNMI mendesak satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi mennyiasat kedudukan Majlis Peguam kerana rakyat semakin sangsi, bimbang dan tertekan sekiranya tiada siasatan bebas dilakukan terhadap badan itu.
MGNMI juga mencadangkan Majlis Peguam diletakkan di bawah Menteri Kehakiman ataupun di bawah kuasa sebuah Suruhanjaya DiRaja yang bebas untuk memastikan prestasi, profesionalisme, ketelusan dan sifat tanggungjawab Majlis Peguam dilaksanakan dan agar rakyat mendapat kembali keyakinan serta mempercayai semula Majlis Peguam sebagai sebuah badan guaman yang benar-benar bebas, adil, berwibawa dan dihormati.
Sebelum ini, Majlis Peguam dalam satu kenyataan media berkata, suspek pembunuhan Sosilawati dan rakan-rakan perlu diberi peluang untuk mempertahankan diri. Dan Majlis Peguam tiada kuasa untuk memantau apa-apa aktiviti yang berurusan dengan anak guaman mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan