Mohd Nor Yahya
KUALA LUMPUR, 14 Okt: Penyerahan surat pemakluman penarikan gelaran ‘Datuk’ kepada Datuk Ibrahim Ali gagal dibuat malam tadi dan ia tidak menjejaskan penarikan gelaran tersebut.
Demikian dijelaskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias ketika ditemui di Rumah Sri Kelantan di sini, malam tadi.
Menurut Mohd Aiseri, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menyerahkan surat tersebut di kediaman Ibrahim di Taman Melawati, di sini.
Namun, katanya ketika pegawai yang ditugaskan tersebut sampai di pintu pagar dan membunyikan beberapa kali loceng, namun tiada sesiapapun keluar.
Beliau berkata, makluman dari pegawainya mengatakan suasana rumah seperti ada ramai orang, rumah terang benderang dan terdapat banyak kereta.
“Bagi saya, ia tidak menjadi masalah, walaupun beliau tidak menerima surat tersebut, ia tetap diwartakan kerana ia adalah titah dari Tuanku Sultan Muhammad ke-V,” ujar beliau.
Ibrahim telah ditarik balik tauliah pelantikan Darjah Kebesaran Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K.) (Al-Ismaili ll) yang berkuatkuasa semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan