"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ambil Tindakan Terhadap Ahli Pas Yang Kotorkan Parti

Mohd Sayuti Omar
SEBAGAI ahli pertubuhan atau parti siasah sesiapa saja boleh membuat teguran dan kritikan kepada parti atau pemimpin. Teguran itu tentulah dengan niat baik untuk membaiki keburukan dan kelemahan. Dalam pada itu cara teguran dan kritikan itu dibuat perlu bijaksana, jangan seperti terjadi seperti nak membuang air kencing tetapi najis (berak) yang terkena.

Dalam apa juga pertubuhan dan siasah ada saluran dan teknik tertentu untuk membuat teguran. Mesyuarat atau persidangan tahunan adalah saluran terbaik. Gunakan saluran itu.

Kalau pemimpin itu keras kepala dan keras pedal, berpakat dan tumbangkan mereka dalam mesyuarat, bukannya dibuat di lokasi terbuka dan diluar kebiasaan dan rukun-rukun itu.
Walaupun usaha menjatuhkan pemimpin satu perbuatan terhina tetapi ia halal kalau pemimpin itu sudah sampai menyeleweng perjuangan parti.

Apa yang dilakukan sekumpulan ahli Pas Kedah menghantar memorandum kepada MB Azizan Razak di hadapan Pejabat MB semalam dilihat satu cara wajar tetap tidak cerdik. Mereka hantar nota bantahan kenaikan harga air, wajar kerana ia membebankan rakyat. Tujuannya untuk membela rakyat. Tetapi cara ianya dibuat di tempat terbuka, siap dengan banner adalah kurang cerdik kalaupun tidak langsung bodoh. Sesuatu yang baik tetapi kalau tidak kena caranya ia jadi buruk dan jatuh haram.

Kenapa dikatakan begitu? Mereka mengakui ahli Pas, maknanya mereka masih ada ruang untuk membetulkan yang tidak betul. Gunakan forum yang disebut tadi. Kalau mereka tidak boleh sabar dengan sikap MB yang terkenal dengan peringus dan bodoh sombong itu berpakat dan jatuhkannya dari dalam. Dalam rumah sendiri kalau hendak bergaduh sampai luka dan patah pun tidak mengapa.

Apabila ia dibuat dikhalayak ia memberi malu kepada parti. Bukan setakat Azizan tetapi Pas juga. Itu sebab saya katakan tindakan kumpulan itu tidak bijak. Maka wajar difikirkan oleh Pas supaya mereka dikenakan tindakan disiplin. Biar jadi pengajaran kepada umum. Bahawa Pas ada peraturan dan ada kaedahnya sendiri yang perlu dipatuhi.

Seperkara lagi apa dilakukan penunjuk perasaan itu ialah menentang keputusan kerajaan. Ia bukan bersifat peribadi terhadap Azizan Razak. Bila ia menentang keputusan kerajaan bermakna mereka tidak bersetuju dengan keputusan parti. Maka tidak wajar bagi mereka masih mengakui ahli Pas kalau mereka menolak keputusan parti sendiri. Itu dianggap songsang.

Kata Azizan mereka adalah ahli Pas dan tunjuk perasaan itu bukan didalang oleh Umno. Pada saya kenyataan berpolitik Azizan itu silap. Walaupun mereka ahli Pas dengan perbuatan itu jelas mereka telah terasok oleh musuh Pas. Kalau mereka ahli Pas mereka mungkin tidak tergamak untuk bebuat demikian dan tidak mudah melakukan kegiatan dan aksi yang bercanggah dengan sifat dan fiil perangai ahli sebuah parti Islam.

Mungkin mereka berbuat begitu kerana MB tidak melaksanakan prinsip Islam tetapi cara mereka juga tidak mengikut lunas Islam. Wal hasil balik asal Azizan dan penujuk perasaan itu dua kali lima sahaja dari segi konteks kenyataan dan tunjuk perasaan itu

Tiada ulasan: