"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis Gagal Siasat Enam Laporan : SPRM Perlu Siasat- Shamsul

SHAH ALAM 11 OKT: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan siasatan terhadap kemungkinan wujud elemen penyelewengan melibatkan pihak berkepentingan dalam kes pembunuhan kejam Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.
Beliau yang ditemubual TV Selangor berkata, rakyat menunggu maklumat saban hari untuk mengetahui ketelusan polis menyiasat kes terdahulu yang dijangka ada kaitan dengan suspek utama pembunuhan.

Shamsul menambah, sekirannya SPRM tidak melindungi kepentingan mana-mana pihak maka mereka perlu seiring dengan polis memastikan kebenaran terjamin.

"Saya tidak dengar apa-apa lagi, mungkin mereka lakukan secara sulit namun setakat ini saya tidak dengar lagi mana-mana polis termasuk Ketua Polis Selangor dipanggil memberi keterangan menjelaskan keadaan yang berlaku," jelas beliau.

Kenyataan Shamsul merujuk jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein di Parlimen berkenaan enam laporan polis direkodkan dari tahun 2005 hingga 2010 dan yang membabitkan suspek kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Sebelum itu, tiga ahli parlimen iaitu Lim Kit Siang(DAP-Ipoh Timur) di sini bersekali dengan soalan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) meminta penjelasan berkenaan perkembangan pembunuhan jutawan kosmetik berkenaan.

Hishamuddin berkata, daripada enam laporan membabitkan peguam terbabit serta adiknya, dua kes selesai disiasat dengan satu daripadanya, kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan satu lagi dalam perbicaraan di mahkamah.

Menurut Shamsul, fakta tidak lengkap yang diumumkan Hishamuddin tidak akan mengaburi mata masyarakat justeru beliau percaya terdapat sebelas lagi kes yang melibatkan suspek dari tahun 1995 masih belum diselesaikan polis.

Beliau menambah, tindakan sambil lewa kerajaan terhadap isu ini melambangkan seolah-olah mereka mencari jalan keluar memberi perlindungan kepada pihak yang berkepentingan.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri dia perlu menjelaskan mengapa perkara ini boleh berlaku dalam sistem kepolisian yang sepatutnya menjaga keselamatan awam.

"Kerajaan cuba mencari jalan keluar dalam kes ini. Sepatutnya Hishamuddin perlu lebih tegas menyatakan bahawa kementerian akan mengambil tindakan tanpa mengenal bulu kepada sesiapa yang cuba untuk menutup kes ini," tegas beliau.

Shamsul menambah sekirannya Hishamuddin serius menangani perkara ini maka beliau perlu tampil menjelaskan kepada umum tiada individu berprofil tinggi terlibat dalam kes ini.

Tiada ulasan: