"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa pendirian Jamil Khir terhadap Tugu Negara, patung PM pertama?

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 7 Jun: Ekoran tidak bersetuju dengan pembinaan tugu 1Malaysia, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) juga didesak menyatakan pandangan terhadap pembinaan Tugu Negara dan patung Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj.

Gesaan itu dibuat Dewan Pemuda PAS Negeri Johor melalui ketuanya, Suhaizan Kayat, yang mahu satu tindakan juga dibuat oleh kerajaan terhadap kedua-dua binaan tersebut yang sama dari sudut hukumnya dengan cadangan pembinaan tugu 1Malaysia.

Jamil Khir yang juga menteri agama semalam dilaporkan berpandangan tidak bersetuju dengan pembinaan tugu 1 Malaysia kerana boleh membawa kepada pemujaan.

Pandangan beliau adalah sama dengan pandangan yang diberikan oleh mufti Perlis supaya sebarang unsur-unsur pemujaan agar tidak diwujudkan.

Ia bersandarkan kepada firman Allah S.W.T dalam surah Al-Maidah ayat 90 yang menyatakan bahawa arak, judi, memuja berhala dan bertenung nasib adalah amalan syaitan dan mestilah dijauhi.

Suhaizan turut mengemukan pandangan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 yang bersidang pada 21 Sep 1995 telah membincangkan Istiadat Meletakkan Kalungan Bunga Di Tugu Negara Sempena Hari Pahlawan.

Muzakarah telah memutuskan bahawa meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena sambutan Hari Pahlawan adalah sama dengan keputusan yang telah diambil dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 7 Oktober 1987 iaitu bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik

Berdasarkan kepada muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ini maka dengan jelas tugu negara boleh membawa kepada unsur syirik dan bercangah dengan Islam. Begitu juga dengan patung Tunku Abd Rahman yang terletak di pagar masuk Parlimen.

"Saya mencabar Datuk Seri Jamil Khair Baharom bertindak terhadap tugu negara dan patung Tunku Abd Rahman dengan segera.

Tindakan ini adalah berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama-ulama hadis, antaranya Muslim, dan diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud;

“Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah selemah-lemah iman.”

"Oleh kerana Datuk Seri Jamil Khir adalah seorang individu yang berkuasa dalam negara dan boleh mencegah dengan tangan maka sudah sewajarnya beliau bertindak dengan segera," tegas Suhaizan.

Tiada ulasan: